KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak bercadang mewajibkan penyedia platform ekonomi gig mencarum bagi pihak pekerja di bawah mana-mana skim perlindungan sosial Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim berkata, tumpuan ketika ini adalah untuk mengekalkan sifat fleksibel dan dinamik ekonomi gig yang menjadi tarikan utama sektor tersebut.
“Pendekatan kerajaan adalah untuk mengekalkan sifat fleksibel dan dinamik ekonomi gig di samping memperkukuh perlindungan sosial kepada para pekerja melalui caruman sendiri oleh para pekerja gig,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) yang meminta kerajaan menjelaskan adakah kerajaan bercadang untuk penyedia platform gig mencarum kepada pekerja.
Mengulas lanjut. Steven turut berkata, pihaknya terus komited melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memastikan para pekerja di negara ini dilindungi sepenuhnya, termasuk melalui usaha memperkukuh perlindungan sosial 24 jam sehari.
Berdasarkan statistik Perkeso, bagi tempoh antara tahun 2018 hingga 31 Ogos 2025, sebanyak 538,111 permohonan telah diterima.
Daripada jumlah itu, katanya lagi lima peratus atau 26,865 kes tuntutan ditolak, dengan 87 peratus daripadanya diputuskan bukan sebagai bencana kerja.
“Apabila sesuatu kes diputuskan sebagai bukan bencana kerja, Orang Berinsurans (OB) dan Orang Tanggungan (OT) tidak layak menerima sebarang faedah di bawah peruntukan Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4).
“Keadaan ini bukan sahaja memberi kesan kewangan kepada pekerja dan keluarga mereka, malah turut menambah tekanan terhadap sistem kesihatan awam negara,” katanya. – UTUSAN










