72 golongan bekerja sendiri terima tajaan perlindungan Perkeso

72 golongan bekerja sendiri terima tajaan perlindungan Perkeso

PERTUBUHAN Keselamatan Sosial (Perkeso) menaja caruman bagi 72 individu bekerja sendiri melibatkan pekebun, penghantar barang, pereka grafik, pengasuh, penjual makanan dan mekanik.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANGKAK: Seramai 72 individu bekerja sendiri di Parlimen Ledang hari ini menerima manfaat perlindungan sosial apabila ditaja caruman oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, daripada jumlah itu, 50 penerima dilindungi di bawah skim LINDUNG Kendiri (Akta 789) yang melibatkan pekebun, penghantar barang, pereka grafik, pengasuh, penjual makanan dan mekanik.

“Sebanyak 22 lagi penerima menikmati perlindungan di bawah LINDUNG Kasih (Akta 838), iaitu skim khas untuk suri rumah kumpulan B40 yang menjadi tulang belakang keluarga. Jumlah keseluruhan sumbangan melebihi RM10,000,” katanya pada majlis penyampaian bantuan di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, di sini hari ini.

LINDUNG merupakan penjenamaan semula skim perlindungan Perkeso yang dilancarkan pada 22 Ogos lalu sebagai usaha memperkukuh jaringan keselamatan rakyat.

Syed Ibrahim berkata, tajaan ini ibarat benteng yang melindungi rakyat daripada risiko tidak diduga, sama ada kemalangan, kehilangan pendapatan atau kematian. 

“Saya mahu pastikan rakyat Ledang, khususnya golongan berpendapatan rendah, tidak dibiarkan berjuang sendirian. Perlindungan sosial membolehkan penerima lebih yakin melaksanakan tugasan harian, sementara Perkeso terus komited melindungi pekerja sendiri serta suri rumah yang berisiko tinggi terhadap masalah kewangan,” katanya.

Majlis berkenaan turut diserikan dengan penganjuran Karnival Kerjaya MYFutureJobs Parlimen Ledang 2025 yang menawarkan lebih 400 peluang pekerjaan dalam sektor perkilangan, logistik, perkhidmatan dan lain-lain.

“Pertumbuhan pesat ekonomi Johor yang mencatat KDNK 6.4 peratus pada 2024 memerlukan tenaga kerja berkualiti. Karnival ini membuka peluang pekerjaan dan menjadi platform pencari kerja menimba ilmu, bimbingan serta rangkaian dengan majikan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×