Vaksin: Representasi pertama Sang Kelembai ditolak

Vaksin: Representasi pertama Sang Kelembai ditolak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR:  Penulis blog Sang Kelembai, Datuk Abd. Zarin Mohd. Yasin gagal dalam representasi pertama berhubung pertuduhan membuat hantaran jelik mengenai urusan pembelian vaksin menerusi laman Facebook miliknya, empat tahun lalu.

Perkara itu dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurilya Ellyna Nor Azmal pada sebutan kes di Mahkamah Sesyen di sini hari ini di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali.

“Representasi yang diserahkan kepada unit pendakwaan negeri telah ditolak dan kami telah memaklumkan perkara itu kepada pihak pembelaan menerusi e-mel,” kata Nurilya Ellyna.

Mendengar perkara itu, peguam Datuk Abu Bakar Isa Ramat yang mewakili Abd. Zarin mengesahkan representasi pertama dikemukakan ditolak.

“Pihak kami akan memfailkan representasi kedua kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam masa terdekat dan kami juga memohon mahkamah menetapkan satu tarikh sebutan dan tarikh perbicaraan sekiranya representasi kedua ditolak,” kata peguam itu.

Selepas mendengar makluman kedua-dua belah pihak, Siti Aminah menetapkan 4 Julai ini bagi mengetahui status representasi kedua tersebut.

Pada masa sama, mahkamah turut menetapkan 12 Ogos ini bagi tarikh perbicaraan.

Pada Januari lalu, Abd. Zarin, 72, selaku orang kena saman (OKS) mengaku tidak bersalah atas pertuduhan secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik sifatnya.

Perbuatan itu didakwa dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain menerusi aplikasi Facebook menggunakan nama `Zaharin Mohamad Yasin’ pukul 2.03 pagi pada 21 Disember 2020.

Hantaran itu kemudian telah dibaca di Kementerian Kesihatan, Putrajaya pada 3 petang, 22 Disember 2020.

Justeru, pertuduhan terhadap OKS dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari atau sebahagian daripada sehari kesalahan diteruskan selepas sabitan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN