Ledakan Hadfina pastikan Malaysia kutip mata

Ledakan Hadfina pastikan Malaysia kutip mata

PEMAIN Malaysia, Nur Najwa Irdina Zaidi berjaya melepasi kawalan pemain Laos pada aksi pertama Kumpulan A Piala AFF Wanita 2026 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, malam tadi.- IHSAN FAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Skuad Malayan Tigress terpaksa berpuas hati dengan satu mata selepas seri 1-1 menentang Laos dalam aksi pembukaan Kumpulan A Piala AFF Wanita 2026 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, sebentar tadi.

Beraksi di hadapan penyokong sendiri, skuad kendalian Joel Cornelli bermula dengan penuh semangat namun dikejutkan menerusi jaringan Kemmy Phatdala pada minit ke-37 yang meletakkan Laos di hadapan menjelang tamat babak pertama.

Gol tersebut hadir ketika Malaysia sedang berusaha menguasai rentak permainan, namun kelekaan di benteng pertahanan dihukum oleh Laos yang memanfaatkan peluang terbaik mereka untuk memecah kebuntuan.

Tersentak dengan jaringan lawan, skuad negara tampil lebih agresif sebaik babak kedua bermula dan usaha mereka membuahkan hasil apabila Hadfina Firdaus meledak gol penyamaan pada minit ke-50.

Jaringan itu menyuntik semangat baharu buat Malaysia yang terus menggandakan asakan dalam usaha mencari gol kemenangan, namun tuan rumah gagal menambah jaringan.

Laos pula sesekali mengancam kubu negara menerusi serangan balas pantas, namun benteng negara berjaya mengelakkan mereka daripada dibolosi buat kali kedua.

Keputusan seri itu menyaksikan kedua-dua pasukan mengutip satu mata dalam saingan Kumpulan A yang turut membabitkan Singapura.

Piala AFF Wanita 2026 berlangsung di Kuala Lumpur dari 10 hingga 22 Julai dengan dua pasukan terbaik setiap kumpulan mara ke separuh akhir.

Malaysia selepas ini perlu segera memperbaiki beberapa kelemahan sebelum turun beraksi di perlawanan kedua menentang Singapura, dengan misi wajib menang bagi memastikan tiket ke separuh akhir menjadi milik skuad wanita negara.

Dalam satu lagi aksi Kumpulan B, menyaksikan Indonesia menewaskan Timor Leste 2-0, pada aksi yang berlangsung sebelah petang.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN