JOHOR BAHRU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan golongan muda di negeri ini supaya tidak lupa menunaikan tanggungjawab pada hari mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, esok.
Anwar yang juga Pengerusi Pakatan (PH) menyampaikan pesanan itu kepada pengunjung Festival Muzik Johor Bahru di Perling Mall di sini, malam tadi.
“Malam ini, tak apa, saya nak anak-anak enjoy, relax, tetapi balik awal, esok pergi mengundi, boleh?,” katanya ketika naik ke atas pentas sebaik tiba di festival berkenaan.
Pada program tersebut, Anwar turut mengingatkan kepada anak muda supaya mengekalkan perpaduan dan keamanan negara dengan menggunakan kuasa sebagai pengundi berdaftar di negeri ini.
“Kita mesti terus jaga persahabatan dan persaudaraan kita. Anak-anak muda kena ingat, negara kita ini aman sebab kita bekerjasama. Negara ini aman sebab semua kaum dapat bersatu. Jangan bagi golongan pelampau pecah belahkan kita. Ini penting saya nak ingatkan.
“Jadi, bagi anak-anak, gunakan kuasa dengan baik, yang boleh mengundi esok, pergi undi dengan cepat. Tahu mana nak pilih?.
“Ini bukan cakap kosong. Kita tengok rekod kita. Minyak turun atau naik? Diesel turun atau naik? Anak-anak sekolah semua dapat bantuan. Ini dasar baru kita. Dulu ada masalah-masalah kita cuba selesaikan,” katanya.-UTUSAN










