PHANG NGA, THAILAND: Pasangan di Malaysia yang berkahwin di Thailand bakal berdepan kesulitan membabitkan urusan pengesahan dokumen perkahwinan jika terus menggunakan khidmat sindiket untuk tujuan berkenaan.
Justeru, mereka dinasihatkan agar menguruskan pernikahan sendiri di negara jiran tersebut tanpa melibatkan pihak ketiga.
Pada masa ini, dianggarkan 200 pasangan dari Malaysia yang bernikah di Thailand dengan sekitar tujuh ke 12 pasangan yang hadir ke Pejabat Konsulat pada setiap hari bagi melakukan pengesahan dokumen pernikahan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Konsul Jeneral Malaysia di Songkla, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi berkata, saranan agar tidak menggunakan khidmat sindiket atau pihak ketiga itu adalah bagi mengelak sebarang kesulitan pada masa hadapan khususnya membabitkan urusan pengesahan dokumen perkahwinan.
Katanya, beliau tidak menolak kemungkinan terdapat sebilangan pasangan dari Malaysia sememangnya sengaja menggunakan perkhidmatan sindiket untuk urusan pernikahan mereka di selatan Thailand itu.
“Pihak konsulat bagaimanapun tidak tahu berapa kos yang dikenakan (sindiket), malah pasangan yang pilih sindiket nikah palsu ini juga kebiasannya tidak mahu ke selatan Thailand untuk bernikah.
“Mereka (pasangan) hanya mahukan dokumen-dokumen palsu tersebut untuk mendaftar perkahwinan mereka di Malaysia.
“Bagaimanapun tidak diketahui sama ada pasangan tersebut telah bernikah di Malaysia atau sebaliknya,” katanya.
Akhbar ini pada Mac tahun lalu melaporkan saranan Majlis Agama Islam Wilayah Songkla, Thailand yang mengingatkan pasangan dari Malaysia bahawa mereka hanya mengiktiraf sijil nikah dikeluarkan pejabat berkenaan sahaja.
Ahli Jawatankuasa majlis agama Islam itu, Abdul Halim Lateh dilaporkan berkata, pihaknya tidak mengiktiraf mana-mana pernikahan yang diadakan di rumah, hotel, kedai makan atau di mana-mana tempat selain pejabat kerana mereka yang terlibat tidak mendapat pentauliahan.
Dalam pada itu, Ahmad Fahmi berkata, pada masa ini, pihaknya mendapati jumlah artis atau golongan kenamaan bernikah di Selatan Thailand tidaklah begitu ramai.
“Malah, trend rakyat Malaysia bernikah di Selatan Thailand juga tidak menunjukkan peningkatan, masih kekal seperti biasa,” katanya. – UTUSAN










