‘UMNO tak pernah dicucuk hidung’   - Utusan Malaysia

‘UMNO tak pernah dicucuk hidung’  

MOHD. PUAD ZARKASHI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: UMNO kekal berprinsip dan tidak pernah dicucuk hidung sejak menjalin kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) sehingga kini.

Ini sekali gus menepis dakwaan Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal terhadap UMNO yang dikatakan menukar prinsip perjuangan sejak bersama PH

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi menyifatkan Wan Ahmad Fayhsal sebagai terlalu naif kerana tidak dapat membezakan antara prinsip dan manhaj (kaedah) perjuangan.

“Dia mentah dalam liku pemikiran politik. Dia cuma melalui liku-liku pertukaran kerajaan. Masuk politik dengan mudah. Masuk terus jadi YB (Yang Berhormat).

“UMNO tetap menjaga prinsip bila bekerjasama, UMNO tidak dicucuk hidung dalam isu kalimah Allah. PH yang bisu, UMNO mewakili suara orang Melayu dalam kerajaan,” tulisnya dalam Facebook miliknya, hari ini.

Puad Zarkashi yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor berkata, UMNO tidak pernah menukar prinsip perjuangan walaupun perkara itu boleh diterima.

“UMNO tidak pernah tukar prinsip perjuangan. Tukar kaedah, uslub dan manhaj memang dibolehkan, ia ikut keadaan masa tersebut.

No Anwar No DAP adalah manhaj sebelum PRU15 (Pilihan Raya Umum Ke-15), di PRU15 BN-PH berlawan. Tetapi selepas PRU15 manhaj berubah,” ujarnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit itu memberitahu, kerjasama UMNO dan PH  dibuat atas keperluan mendesak selepas mendapat titah Yang di-Pertuan Agong selepas PRU15 bagi Kerajaan Persekutuan dibentuk.

Katanya, UMNO bersetuju manakala Bersatu dan Pas sahaja engkar kerana ‘bodoh sombong’.

“Walaupun bersetuju membentuk kerajaan bersama, BN tidak menyertai PH, ini berbeza dengan Bersatu dan Pas yang lebih awal bersekongkol dengan DAP termasuk bergabung dalam PH dan Pakatan Rakyat.

“UMNO pernah berkawan dengan Gerakan. Di awal penubuhannya parti itu dicop cauvinis. UMNO juga berkawan dengan Pas yang ketika itu isu mengkafirkan lawan panas,” katanya. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN