UMNO perlu pemimpin angkat semula semangat parti - Ahmad Zahid

UMNO perlu pemimpin angkat semula semangat parti – Ahmad Zahid

PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahidi Ketika berucap pada Majlis Sambutan Ulangtahun UMNO ke-78 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini hari ini. - UTUSAN/IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: UMNO memerlukan pemimpin di dalam parti untuk menampilkan idea baharu bagi mengorak langkah sesuai anjakan politik semasa.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kini masanya kalangan pimpinan di semua peringkat Majlis Kerja Tertinggi (MKT), negeri, bahagian dan cawangan membuktikan cara sesuai di peringkat masing-masing untuk mengangkat semula citra parti.

“Kita mungkin bukan seperti dahulu, perlu mencagar barang kemas dan bergolok bergadai demi kelangsungan parti.

“Kita juga tidak lagi dapat memberi nikmat pembangunan dan jawatan seperti sebelum ini, tetapi apa yang kita punyai hari ini perlu digunakan untuk benar-benar dirasai rakyat.

“Pemimpin UMNO yang telah dipilih akar umbi ini perlu tampil ke hadapan, memberi idea dan melaksanakan sesuatu yang di luar kebiasaan,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Ulangtahun ke-78 di Pusat Dagangan Dunia Di sini malam tadi.

Terdahulu, majlis dimulakan dengan solat hajat disusuli bacaan yassin dan tahlil yang dihadiri oleh beberapa MKT UMNO antaranya Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi, Naib Presiden UMNO Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Ketua Pemuda UMNO, Dr. Akmal Saleh.

Selain itu, Ahmad Zahid berkata, UMNO mesti menyesuaikan diri dengan persekitaran, mengekang fitnah dahsyat di media sosial dan tidak semata-mata dalam perasaan bertahan walaupun sebahagian daripada kerajaan.

“Pemimpin UMNO perlu mencipta sentimen dan perlu menerajui naratif pemikiran rakyat. Manfaatkan kemajuan pelbagai platform media sosial. Terokai TikTok dan Instagram kerana di sini tempat anak muda berkumpul sebagai medium dekati pengundi 18.

“Perkembangan Artificial Intelligent (AI) merupakan cabaran baharu yang akan menjadi ledakan dalam membentuk pemikiran rakyat. Sebab itu saya tegaskan pimpinan UMNO kena terkehadapan dalam usaha melonjakkan semula citra parti dalam upaya untuk kita mendahulukan semula parti keramat ini.

“Saya mahu lebih ramai pemimpin UMNO, bermula dari peringkat MKT sehingga ke Bahagian, ADUN dan Ahli Parlimen mula teroka dunia baharu dan tidak lagi berada di takuk yang lama,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN