KULIM: Seorang pekerja pembersihan menemukan seekor ular sawa dalam longkang ketika sedang membersihkan kawasan bangunan di sebuah pejabat kerajaan di Jalan Hospital, hari ini.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kulim, Kapten (PA) Amirul Aliff Ahmad berkata, ular terbabit sepanjang enam meter dengan berat melebihi 40 kilogram.
“Kami menerima panggilan pada pukul 11.43 pagi, reptilia terbabit disedari seorang pekerja wanita yang terdengar bunyi pelik dari arah kawasan longkang.
“Setelah menyedari kehadiran ular itu, wanita berkenaan terus memaklumkan kepada pihak pengurusan sebelum mereka menghubungi APM. Kira-kira 30 minit diperlukan untuk menangkap ular sawa itu yang agresif,” katanya ketika ditemui.
Ujarnya, reptilia itu dipercayai baru menelan haiwan lain yang tidak diketahui berdasarkan bentuk badan yang besar.
“Ular terbabit dibawa balik ke Pejabat APM Daerah Kulim sebelum dihantar ke Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kedah untuk tindakan lanjut,” katanya. -UTUSAN










