Kuala Lumpur: Polis akan memanggil kolumnis, Andrew Sia untuk dirakam percakapannya berhubung penulisan yang mendakwa Universiti Teknologi Mara (UiTM) sebagai mengamalkan sistem ‘aparteid’.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan sedang dijalankan dan individu terbabit akan dipanggil dalam masa terdekat.
Menurut beliau, semakan kepada portal sedang dibuat bagi memanggil pengarang untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan.
“Setakat ini sebanyak 38 laporan polis diterima di seluruh negara berhubung isu ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1988.
Media semalam melaporkan polis sudah membuka kertas siasatan ke atas kolumnis, Andrew Sia berhubung penulisannya yang mendakwa UiTM mengamalkan sistem ‘aparteid’.
Ini susulan, laporan polis dibuat Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) terhadap kolumnis sebuah portal berita, Andrew Sia kerana menggelar UiTM sebagai “akademi aparteid”.
Laporan polis itu dibuat oleh Ketua Penerangan Parti Putra, Sharulutfi Sharis di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi dekat sini kira-kira pukul 4 petang semalam.
Sharulutfi berkata, artikel berkenaan tidak adil, bersifat prejudis dan boleh mencetuskan kemarahan orang Melayu.
“UiTM ditubuhkan dengan tujuan memberi peluang pendidikan kepada bumiputera, bukan untuk melaksanakan diskriminasi.
“Perbandingan yang dibuat dalam artikel tersebut merendahkan usaha dan integriti UiTM,” katanya.
Rabu lalu, Andrew menulis mengenai isu parallel pathway dan keengganan UiTM membuka pintu buat sementara waktu kepada bukan bumiputera untuk menangani kekurangan pakar bedah kardiotoraks.
Kelmarin, Pemuda UMNO juga mengarahkan anggotanya membuat laporan polis di seluruh negara selain menuntut Andrew memohon maaf secara terbuka.- UTUSAN










