GEORGE TOWN : Veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang menjelaskan, tempoh tiga tahun akan datang mungkin adalah tempoh yang paling kritikal bagi Malaysia.
Kit Siang berkata, ini kerana tempoh berkenaan boleh menjadi penentu sama ada Malaysia memperoleh semula kedudukan sebagai negara bertaraf dunia yang hebat atau meneruskan kemerosotan dan berakhir sebagai negara yang gagal, berpecah serta kleptokrasi.
“Satu perkara yang saya pelajari daripada penglibatan lebih lima dekad dalam politik Malaysia ialah, keadaan tidak boleh berubah dalam sekelip mata dan reformasi institusi juga tidak boleh berlaku dengan serta-merta.
“Jadi, Malaysia tidak boleh menjadi lebih teruk dalam tempoh tiga tahun lagi jika kita mahu memperbaiki kedudukan kita dalam Indeks Kemajuan Sosial secara tahunan.
“Hal ini demikian kerana, sejak 2011 iaitu apabila Indeks Kemajuan Sosial mengenai pelbagai dimensi kemajuan sosial pertama kali dikeluarkan, Malaysia telah berada pada tangga 40 hingga 50.
“Dalam hal ini, adakah Kerajaan Perpaduan mempunyai keberanian dan komitmen untuk membawa Malaysia menjadi antara 30 negara pertama dalam Indeks Kemajuan Sosial?” soal beliau.
Dalam pada itu, kata Kit Siang, kembalinya negara kepada objektif asas Malaysia seperti yang dinyatakan dalam Perlembagaan Malaysia dan Rukun Negara, adalah untuk meneruskan legasi tokoh politik DAP iaitu mendiang Datuk Seri Karpal Singh yang membawa kepada peningkatan kedudukan Malaysia dalam indeks berkenaan.
“Malaysia memerlukan lebih ramai rakyat seperti Karpal untuk ‘menyelamatkan’ negara daripada menjadi sebuah negara yang gagal, berpecah belah dan kleptokrasi.
“Karpal telah memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia tentang keadilan, kedaulatan undang-undang, hak asasi manusia dan tadbir urus yang baik.
“Oleh itu, saya menggesa rakyat Malaysia supaya sentiasa sedar akan legasi Karpal Singh dan tiada cara yang lebih baik untuk meningkatkan kedudukan negara ini dalam Indeks Kemajuan Sosial selain daripada meneruskan legasi Karpal,” katanya.-UTUSAN










