KUALA LUMPUR: UMNO tidak boleh dilihat sekadar sebagai ‘penumpang’ dalam Kerajaan Perpaduan kerana parti itu turut menjadi sebahagian daripada kerajaan yang dibentuk sejak tiga tahun lalu.
Keua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, tiada klausa dalam perjanjian Kerajaan Perpaduan yang menafikan hak parti untuk bergerak secara sendiri atau menggunakan formula berbeza di peringkat negeri.
Katanya, pembentukan Kerajaan Perpaduan adalah bagi membentuk kerajaan Persekutuan, manakala soal pembentukan kerajaan negeri tertakluk kepada pilihan raya negeri dan peruntukan dalam Perlembagaan negeri masing-masing.
“Saya melihat bahawa kita tidak boleh dilihat hanya sebagai penumpang. Kita juga adalah sebahagian daripada kerajaan tersebut. Jadi, nak meletakkan kita sebagai penumpang untuk menelan segala-galanya saya rasa agak tidak adil.
“Dalam perjanjian itu tidak ada yang menafikan kita hak untuk bergerak dalam beberapa bentuk di peringkat negeri-negeri. Kalau kita dengar ucapan beberapa hari ini, tidak semua negeri menggunakan formula yang sama,” katanya.
Azalina turut berkata, UMNO dan wakilnya dalam Kerajaan Persekutuan kekal profesional dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai anggota Kabinet, termasuk memastikan tugas kepada kerajaan Persekutuan tidak terjejas.
“kita sangat professional dalam menjalankan tugas sebagai ahli politik dan menteri. Tidak ada elemen kita tidak melakukan kerja untuk kerajaan Persekutuan.
“Tetapi untuk kerajaan negeri, ukuran itu ialah pilihan raya negeri yang secara perlembagaan sememangnya diperuntukkan oleh Perlembagaan negeri,” katanya.
Malah, beliau juga menyifatkan dakwaan UMNO ‘derhaka’
jika parti itu membuat keputusan sendiri sebagai keterlaluan.
“Jadi, nak mengatakan kita derhaka, saya rasa agak terlaluan. Apa yang kita buat, kita buat atas landasan yang dibenarkan kerana pilihan raya negeri itu memang sentiasa ada,” katanya. – UTUSAN










