PASIR SALAK: Seorang remaja sanggup tidak menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu untuk bekerja bagi membantu bapa dan ibunya yang mengalami masalah kesihatan.
Remaja lelaki berusia 18 tahun itu berkata, dia sudah mendaftar sebagai calon SPM tahun lalu namun membuat keputusan tidak hadir semasa peperiksaan dijalankan bagi memberi perhatian terhadap bapanya.
Katanya, dia bekerja di sebuah restoran makanan segera di Kuala Lumpur bagi mencari wang untuk membantu keluarga.
“Saya lebih rela berkorban dengan tidak menduduki peperiksaan SPM tahun lalu sebaliknya bekerja untuk mencari wang bagi keluarga kerana bapa saya menghidap misteri yang menyebabkan dia tidak boleh bekerja dan tidak boleh keluar rumah selama lapan bulan.
“Ibu pun tidak sihat pada masa itu dan hanya kerja di kerja makan untuk bantu ayah dan dia adik saya. Abang dan kakak saya pun turut membantu ibu dan bapa.
“Dengan gaji yang diperoleh saya bantu ayah, saya belikan ubat untuknya. Keadaan ayah yang sakit menyebabkan saya tak sampai hati biarkan ibu bekerja seorang diri,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menurutnya, dia mencari kerja di Kuala Lumpur dan bekerja di sebuah restoran makanan segera.
Katanya, namun dia terpaksa berhenti kerja kerana isu boikot.
“Ini menyebabkan saya balik ke kampung dan bekerja di kedai makan sebagai pencuci pinggan dengan gaji RM50 semalam.
“Saya bercadang untuk terus bekerja untuk membantu ibu bapa yang tidak sihat,” katanya.
Kata remaja itu, dia tidak kesal dengan keputusannya itu kerana itu semua dilakukan demi membantu keluarganya. – UTUSAN










