CAMERON HIGHLANDS: Persatuan Kesedaran Alam Sekitar Cameron Highlands (Reach) bimbang penerokaan tanah tidak mengikut peraturan di kawasan tanah tinggi itu yang boleh menyebabkan bencana alam seperti tanah runtuh.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Reach, A. Dilip Martin berkata, pihaknya mengesan beberapa kawasan yang sudah diteroka melibatkan pembersihan hutan di kawasan bukit, di sini yang dilakukan tanpa mengikut syarat kelulusan permit kerja tanah.
Kata beliau, antaranya tanah bukit yang dipotong terus memasuki sungai seterusnya ke Empangan Abu Bakar dan Empangan Sungai Jelai.
“Kerja memotong bukit di situ melibatkan kawasan bukit dan tanah tinggi Kelas IV dalam Garis Panduan Perancangan Pembangunan di Kawasan Bukit dan Tanah Tinggi, yang melibatkan kawasan bukit berkecerunan tidak lebih 35 darjah.
“Sejak kebelakangan ini banyak penerokaan tanah sedang berlaku di Cameron Highlands dan Reach bimbang dengan keadaan ini kerana ia boleh menyebabkan bencana alam seperti tanah runtuh,” katanya.
Menurut beliau, ada tanah yang diteroka mempunyai kelulusan daripada pentadbir tanah namun Reach bimbang jika penerokaan tidak mempunyai sebarang permit kerja tanah.
Jelas beliau, sekiranya berlaku, ia adalah perbuatan tidak bertanggungjawab kerana melakukan kerja-kerja tanah dilakukan tanpa mengikut syarat kelulusan permit kerja tanah.
“Reach mengesan kerja-kerja tanah menggunakan mesin-mesin berat bekerja pada hari Sabtu dan Ahad, tidak menyediakan perangkap tanah dan memotong bukit menyebabkan tanah yang dipotong terus memasuki sungai.
“Reach memohon supaya laporan penilaian impak alam sekitar (EIA) projek yang melibatkan penerokaan tanah dibentangkan kepada umum supaya penduduk Cameron Highlands tahu apa yang sedang berlaku,” katanya.
Sementara itu, Ketua Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan Daerah) Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands, Tengku Azuddin Shah berkata, pihaknya akan mendapatkan maklumat mengenai dakwaan Reach itu. – UTUSAN










