Tadbir urus baik asas penting capai prinsip ESG – Khaled Nordin

Tadbir urus baik asas penting capai prinsip ESG – Khaled Nordin

Mohamed Khaled Nordin beramah mesra bersama tetamu yang hadir selepas menyampaikan ucaptama pada program Seminar Antarabangsa Keselamatan Negara bersempena Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2024 dan Pameran Keselamatan Kebangsaan Asia (NATSEC Asia) 2024 di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa (MITEC) di sini, semalam. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seminar Keselamatan Antarabangsa bertajuk ‘Peluang dan Cabaran Dalam Mempertingkatkan Keselamatan Negara Melalui Tatakelola Yang Cekap serta Rakan Strategik Yang Dipercayai’ menyatukan pemimpin global dan pakar dalam mentadbir urus pertahanan dan keselamatan negara.

Antara agenda penting dalam program itu antara lainnya membincangkan kaedah menangani dinamik landskap keselamatan negara dan global, menekankan peranan penting tadbir urus serta perkongsian antarabangsa dalam memperkukuhkan daya tahan dan kestabilan negara.

Seminar ini juga merintis usaha semua peringkat kerajaan, sektor swasta dan masyarakat dalam mengurus dan mengurangkan kesan bencana alam seperti banjir yang lazim berlaku di Malaysia.

Dalam landskap keselamatan global yang semakin berkembang, meningkatkan tadbir urus baik dengan perkongsian bersama rakan strategik boleh dipercayai merupakan strategi paling kritikal.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, prinsip persekitaran, sosial dan tadbir urus (ESG) pada tahap tertinggi merupakan kunci utama kepada masa depan yang mampan khususnya membabitkan industri pertahanan dalam menangani ancaman tradisional dan bukan tradisional masa kini.

Mohamed Khaled Nordin menyampaikan ucaptama pada program Seminar Antarabangsa Keselamatan Negara bersempena Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2024 dan Pameran Keselamatan Kebangsaan Asia (NATSEC AsiaA) 2024 di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa (MITEC) di sini semalam. – UTUSAN/AMIR KHALID

Bagi mencapai tahap tertinggi dalam prinsip ESG, beliau berkongsikan tiga indikasi penting yang menjadi asas serta perlu diamalkan oleh pemain industri pertahanan.

“Pertamanya, dalam mana-mana interaksi, faktor kepercayaan adalah kunci utama. Bagi mendapatkan kepercayaan pihak berkepentingan, proses tadbir urus yang cekap perlu dilaksanakan.

“Kedua, perkongsian antarabangsa yang kukuh boleh diperkukuhkan dengan mudah atas landasan tadbir urus yang baik.

“Ketiga, tadbir urus yang baik berperanan sebagai paksi utama untuk mengoptimumkan penggunaan sumber,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada pembukaan seminar anjuran antara Maktab Ketahanan Nasional (MKN), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan Perkhidmatan Pertahanan Asia 2024 yang berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa (MITEC) di sini, semalam.

Seminar tersebut diadakan sempena Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan Asia (NATSEC Asia) 2024.

Ia melibatkan jemputan pertahanan dari wakil kedutaan, Panglima Perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Panglima Angkatan Tentera Brunei, Defence Attache, penuntut Maktab Ketahanan Nasional, Maktab Pertahanan Angkatan Tentera dan Maktab Turus Angkatan Tentera.

Ia turut dibarisi oleh ahli panel terkemuka dalam sektor pertahanan iaitu Menteri Pertahanan United Kingdom (UK), Lord Timothy Minto; Presiden Institut Kajian Keamanan dan Keselamatan (RIPS) Jepun, Profesor Dr. Hideshi Tokuchi dan pensyarah Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Profesor Ruhanas Harun.

Moderator bagi seminar tersebut adalah Pengarah Pusat Pengajian Pertahanan dan Keselamatan Antarabangsa (CDiSS) UPNM, Profesor Dr. Adam Leong Kok Wey.

Selain itu, antara objektif penting yang turut dibincangkan dalam seminar tersebut adalah peralihan daripada pandangan keselamatan berpaksikan kenegaraan kepada pendekatan berorientasikan rakyat yang menggambarkan cabaran hari ini.

Faktor dalaman dan luaran secara berterusan membentuk semula ancaman kepada kedaulatan, kepentingan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

Mohamed Khaled berkata, adalah penting untuk memberi kesedaran bahawa tiada negara boleh mencapai objektif keselamatannya secara bersendirian.

“Perlu diingat bahawa tiada negara terlalu besar untuk bekerjasama atau terlalu kecil untuk didengari,” katanya.

Seminar itu juga menitikberatkan hubungan kritikal antara tadbir urus, keselamatan dan perkongsian, serta menjelaskan bagaimana elemen ini secara kolektif menyumbang kepada persekitaran global yang lebih selamat dan stabil.

Antara matlamat utama termasuklah memupuk pemahaman komprehensif serta mengenal pasti strategi yang boleh dilaksanakan untuk mengukuhkan hubungan antara tadbir urus baik, perkongsian boleh dipercayai dan keselamatan negara, yang akan menetapkan asas untuk keamanan dan pembangunan yang berkekalan.

Bagaimanapun, Mohamed Khaled berkata, dalam mencapai dan mengekalkan tahap tertinggi tadbir urus baik pastinya akan berhadapan dengan cabaran termasuk isu rasuah, ketidakcekapan dan ketelusan.

Katanya, perkara tersebut boleh merosakkan asas kepercayaan dan kestabilan awam yang signifikan selain melemahkan keberkesanan rangka kerja keselamatan sedia ada sekali gus mendedahkan negara kepada ancaman dalaman serta luaran.

“Di bawah aspirasi Malaysia Madani oleh Kerajaan Perpaduan, kami berusaha untuk memastikan dua perkara iaitu mengetengahkan amalan pentadbiran baik dan menonjolkan Malaysia sebagai negara pro perdagangan, kestabilan dan perkongsian,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN