KUALA LUMPUR: Kepelbagaian teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI) dan sistem hipersonik bakal memberi impak besar terhadap operasi ketenteraan masa depan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kemajuan pesat dalam sains dan teknologi telah mengubah secara asas landskap keselamatan global, sekali gus mentakrif semula sifat peperangan dan kuasa ketenteraan.
Katanya, dalam dunia yang semakin kompleks dan berkembang pantas, keselamatan kolektif bergantung kepada keupayaan negara untuk memahami, menyesuaikan diri dan bertindak secara bersama.
“Teknologi ini bersifat menganggu (disruptive) dan mengalihkan fokus daripada platform tradisional kepada sistem yang saling berhubung serta autonomi. Penggabungan teknologi ini mewujudkan paradigma peperangan yang sama sekali baharu,” katanya.
Mohamed Khaled berkata demikian pada Majlis Perasmian Forum Putrajaya sempena Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2026 dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) 2026 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini hari ini.
Beliau berkata, konflik semasa menunjukkan peperangan kini semakin dipengaruhi oleh keupayaan dan integrasi teknologi yang menuntut penilaian semula terhadap pendekatan membina kekuatan pertahanan.
Katanya, kebergantungan kepada aset berteknologi tinggi dan mahal semata-mata tidak lagi mencukupi, sebaliknya konsep attritable mass seperti penggunaan dron kos rendah secara besar-besaran semakin relevan.
“Dalam pendekatan ini, perkakasan menjadi sekunder berbanding tulang belakang digital, infrastruktur pengkomputeran, data dan AI,” jelasnya.
Beliau berkata, penguasaan maklumat menjadi kunci utama dalam peperangan moden dengan keupayaan mengumpul, memproses dan bertindak terhadap data secara pantas memberi kelebihan strategik.
“Medan pertempuran masa hadapan dicirikan oleh keterhubungan, ketepatan dan keupayaan pemusnahan. Kita perlu mengoptimumkan teknologi serta sistem arahan bersepadu untuk mendahului pihak lawan,” katanya.
Mohamed Khaled turut memberi amaran bahawa sektor pertahanan kini berada pada titik perubahan kritikal apabila teknologi baharu membentuk semula asas kuasa ketenteraan.
Beliau menggesa negara-negara ASEAN supaya memahami perubahan dan bertindak segera, memandangkan rantau ini semakin terdedah kepada dinamika keselamatan baharu.
“Rantau ini perlu melangkaui pelaburan semata-mata dengan memberi tumpuan kepada transformasi serta mengimbangi kemajuan teknologi dengan etika dan tanggungjawab,” ujarnya.
Beliau berkata, matlamat utama kekal kepada usaha memastikan keamanan, kestabilan dan kemakmuran serantau.
Katanya, tema Forum Putrajaya iaitu ‘Keselamatan ASEAN di Ambang Teknologi Baharu’ dipilih bagi merangsang perbincangan bermakna serta membuka jalan kepada tindakan konkrit. – UTUSAN










