KUALA TERENGGANU: Sebanyak 10,840 tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di seluruh negara akan melaksanakan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Al-Nawawi secara berperingkat pada tahun ini.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pada peringkat awal, sebanyak 4,145 tabika Kemas melibatkan kira-kira 80,000 pelajar akan memulakan modul tersebut Jun ini.
Menurutnya, guru-guru di tabika terbabit akan mengikuti latihan sebelum modul tersebut dilaksanakan.
“Modul tersebut diperkenalkan bagi mengimarahkan usaha membentuk masyarakat Madani dengan memupuk penghayatan hadis bermula dari peringkat awal persekolahan.
“Penghayatan hadis pada peringkat awal sekolah merupakan tindakan proaktif bagi melahirkan generasi muda Islam cerdik agama berpegang kepada kefahaman ajaran Islam yang syumul,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mewakili Timbalan Perdana Menteri merasmikan pelancaran buku poket Hadis 40 Imam Al-Nawawi di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini, semalam.
Asyraf Wajdi berkata, modul penghayatan hadis itu juga seiring dengan inisiatif Program Tabika Pra-Tahfiz yang dilaksana bermula tahun ini.
Malah, beliau berhasrat melaksanakan modul tersebut dalam waktu terdekat kepada lebih 300 institusi pendidikan Mara termasuk Maktab Rendah Sains Mara dan GiatMara. – UTUSAN










