PETALING JAYA: Pakar ekonomi mencadangkan kerajaan melaksanakan terlebih dahulu projek rintis subsidi bersasar berdasarkan maklumat Pangkalan Data Utama (PADU).
Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, ia bagi mengukur kejayaan pelaksanaan dasar tersebut di peringkat awal.
Malah, beliau mengesyorkan supaya dasar subsidi bersasar dilaksanakan selepas kejayaan pelaksanaan gaji progresif, bagi memberi peluang kepada rakyat mengatur semula perbelanjaan mereka.
Katanya, kerajaan sudah boleh memulakan projek rintis tersebut di kawasan tertentu berdasarkan sistem PADU.
“Kaedah dan keputusan mestilah dimaklumkan kepada seluruh rakyat supaya pelaksanaan yang tersusun serta strategik dapat dilaksanakan dengan jaya tanpa memerlukan perbelanjaan penguatkuasaan yang banyak.
“Seterusnya, apabila projek rintis berjaya, barulah dilaksanakan di seluruh negara dan sebaiknya dilancarkan selepas kejayaan pelaksanaan gaji progresif dahulu, kerana ia memberikan peluang kepada rakyat untuk mengubah belanjawan masing-masing.
“Janganlah dilakukan pelaksanaan subsidi berdasar pada waktu golongan B40 dan M40 masih tersepit dengan gaji sekarang dan kenaikan harga barangan yang mendadak nanti,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dalam perkembangan berkaitan, Aimi Zulhazmi berpendapat, kerajaan boleh menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi membantu penguatkuasaan subsidi bersasar secara tersusun berdasarkan pendapatan bersih isi rumah.
“Penggunaan AI perlu dilakukan di peringkat kelayakan untuk menentukan jumlah subsidi yang tepat dan bukan hanya menggunakan purata.
“Kegunaan AI juga sesuai untuk penguatkuasaan. Sebagai contoh, stesen minyak boleh mengenal pasti rakyat yang berkelayakan untuk mendapatkan subsidi setiap kali mengisi minyak,” katanya.
Dalam pada itu, Penganalisis Ekonomi, Prof. Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, subsidi bersasar boleh dilakukan pada bila-bila masa.
“Jika PADU telah siap, subsidi bersasar boleh dilaksanakan dan seeloknya pelaksanaan subsidi bersasar dimulakan pada suku tahun ketiga iaitu bermula Jun ini.
“Ini kerana, kadar inflasi masih lagi rendah sekitar 1.8 peratus dan saya melihat majoriti penduduk akan kekal mendapat subsidi kecuali T20. Oleh itu, tidak ada isu inflasi akan meningkat secara mendadak,” katanya. – UTUSAN











