SEPANG: Seorang pengarah mendakwa mengalami kerugian teruk kerana kehilangan kontrak besar sebagai alasan lewat menyerahkan cukai pendapatan syarikat pada 2022.
Ahmad Shahrul Aimee Alias ketika mengemukakan rayuan itu juga memaklumkan, beliau menanggung hutang yang banyak dengan ramai staf berhenti telah menjejaskan operasi syarikatnya.
“Sebahagian besar gaji bulanan saya sebanyak RM20,000 terpaksa bayar hutang kepada pelbagai bank,” jelasnya yang berusia 52 tahun kepada Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Terdahulu, beliau mengaku bersalah setelah pertuduhan kes dibacakan oleh jurubahasa mahkamah atas kesalahan gagal menyerahkan borang nyata cukai tahun taksiran 2021.
Majistret Muhammad Bukhori Md. Ruslan yang berpuas hati dengan fakta kes kemudian mengenakan hukuman denda RM12,000 atau penjara dua bulan sekiranya gagal dijelaskan.
Kes dikendalikan oleh pegawai pendakwaan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM), Muhammad Danial Ahmad mengikut Seksyen 77A(1) Akta Cukai Pendapatan 1967.
Kesalahan itu jika disabitkan mahkamah boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang RM200 dan tidak lebih RM20,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya.
Tertuduh tidak diwakili peguam bela manakala LHDNM ketika penghujahan balas berkata, kes tersebut bukan kali pertama dilakukan syarikat tersebut sejak ditubuhkan pada 1999.
“Berdasarkan rekod kami, mereka pernah dikesan sebagai culas bagi tahun taksiran 2001, 2003, 2004, 2005, 2006, 2007, 2013, 2015, 2016 dan 2017,” kata Muhammad Danial.
Justeru, beliau meminta mahkamah mempertimbangkan hukuman berat sebagai bentuk pengajaran agar tidak diulangi kesilapan sama dan sebagai mesej kepada orang awam.
Beliau turut memberikan contoh empat hukuman yang pernah disabitkan mahkamah di seluruh negara sebelum ini dengan paling ringan denda RM10,000 dan penjara sebulan.
Namun tegasnya, kerajaan memandang serius kes itu dengan denda maksimum dinaikkan mulai 2014 daripada hanya RM2,000 dan disenaraikan sebagai jenayah kesalahan berat.
Selain itu ujarnya lagi, orang kena saman (OKS) tersebut pernah beberapa kali dikompaun dan masih aktif menjalankan perniagaan dengan pendapatan bercukai melebihi RM100,000.
Sementara itu, Ahmad Shahrul Aimee ketika membuat rayuan berkata, punca syarikatnya lambat bertindak mengemukakan borang nyata cukai bukan perkara yang disengajakan.
“Pekerja yang menguruskan fail ini berhenti dan petugas baharu mengambil masa pula mengemas kini dokumen,” jelasnya yang sudah berkahwin dengan memiliki tujuh anak.
Tambah beliau, syarikat pembekalan pembinaan tersebut yang beralamat di Kota Warisan di sini juga sentiasa melaksanakan tanggungjawab percukaiannya itu terhadap LHDNM. – UTUSAN










