Konstabel didakwa cuba curi beg galas rakan sekerja

Konstabel didakwa cuba curi beg galas rakan sekerja

AHMAD Fahmi Ahmad Hasbullah dikawal anggota polis selepas mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan cuba mencuri di Mahkamah Majistret Yan, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YAN: Seorang anggota polis berpangkat konstabel mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas pertuduhan cuba mencuri barangan milik rakan sekerjanya, awal bulan ini.

Tertuduh, Ahmad Fahmi Ahmad Hasbullah, 29, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Anis Suraya Ahmad.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa cuba mencuri beg galas yang mengandungi dompet, kunci dan jaket milik mangsa berusia 32 tahun, pada pukul 7.20 petang, 2 September lalu di Kaunter Aduan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Yan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 511 kanun sama.

Seksyen 379 memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sementara bagi kesalahan di bawah Seksyen 511, hukuman penjara yang dikenakan tidak melebihi separuh daripada tempoh hukuman maksimum bagi kesalahan berkenaan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nik Nurhazirah Tuan Yahya menawarkan jaminan sebanyak RM6,000 kepada tertuduh, manakala peguam Nurul Nur Hidayah Roslin memohon kadar minima dengan alasan tertuduh memberikan kerjasama baik sepanjang siasatan.

Nurul Nur Hidayah juga menyatakan tertuduh yang bergaji kira-kira RM3,000 menanggung dua anak berusia dua dan tiga tahun, sementara isterinya tidak bekerja.

Majistret Anis Suraya menetapkan jaminan sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin dan mahkamah menetapkan 20 Oktober depan untuk sebutan semula kes. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×