Syarikat pembekal, perunding didakwa gagal bayar cukai perkhidmatan - Utusan Malaysia

Syarikat pembekal, perunding didakwa gagal bayar cukai perkhidmatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Sebuah syarikat pembekal dan perunding berkaitan marin, Ranaco Marine Sdn. Bhd. dan dua pengarah syarikatnya, didakwa di Mahkamah Sesyen Kemaman hari ini, atas tujuh pertuduhan gagal membayar cukai perkhidmatan dan penalti berjumlah RM446,709.13 pada 2022 dan 2023.

Tertuduh, Ranaco Marine Sdn. Bhd. dan Ahmad Firdhaus Ramlan, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan sebaik kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Wan Suhaila Mohd.

Seorang lagi tertuduh, Norihan Ahmad, 71, tidak menghadiri prosiding atas faktor kesihatan.

Mengikut pertuduhan satu hingga tujuh, ketiga-tiga tertuduh bagi mencapai niat bersama sebagai orang kena cukai di bawah Akta Cukai Perkhidmatan 2018, telah gagal membayar cukai perkhidmatan berjumlah RM319,077.97 dan penalti berjumlah RM127,631.16 kepada Ketua Pengarah Kastam seperti yang ditetapkan dibawah Seksyen 26 (4) Akta Cukai Perkhidmatan 2018 (Akta 807).

Kesalahan itu didakwa dilakukan dalam tempoh Januari, Februari, Mac, April, September hingga Oktober 2022.

Kesalahan itu juga dilakukan dalam tempoh Januari, Februari, Mei, Jun, Julai hingga 31 Ogos 2023.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 26 (8) Akta Cukai Perkhidmatan 2018 (Akta 807).

Sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak melebihi lima puluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 27 Jun ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan Ahmad Firdhaus diikat jamin sebanyak RM2,500 bagi setiap pertuduhan menjadikan jumlah keseluruan jaminan sebanyak RM17,500.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Terengganu, Muhammad Adam Zahid dan Nur Zahidah Razali manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×