KUALA NERUS: Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan merasmikan Hospital Sultan Zainal Abidin (HoSZA) di sini, hari ini.
Turut berangkat ke majlis tersebut ialah Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah dan anakanda.
Keberangkatan tiba baginda berdua disambut Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan isteri, Toh Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman serta pimpinan tertinggi negeri yang lain.
Sementara itu, Menteri Besar, Ahmad Samsuri dalam ucapannya berkata, kerajaan negeri yakin HoSZA mampu mencapai standard kecemerlangannya sebagai hospital rujukan pakar yang setanding dengan hospital-hospital pengajar yang telah berdiri kukuh di Malaysia.
Menurutnya, penubuhan HoSZA adalah satu pencapaian yang sangat penting dalam perkembangan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), kerana ia meluaskan peranan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan sekaligus membuka peluang-peluang baharu dalam bidang perubatan dan kesihatan.
Katanya, HoSZA juga, dapat meningkatkan visibiliti dan reputasi UniSZA, terutamanya dalam menyediakan fasiliti latihan klinikal yang berkualiti tinggi bagi pelajar serta pembangunan penyelidikan dan penemuan baharu dalam teknologi perubatan yang diperlukan oleh negara.
“Dengan kepakaran tersedia, HoSZA mampu memberi pelbagai faedah kepada rakyat Terengganu terutama dalam rawatan kesihatan yang berkualiti,” katanya.
HoSZA menawarkan perkhidmatan pengimejan dengan menyediakan akses kepada teknologi terkini seperti penggunaan Magnetic Resonance Imaging (MRI) 3 Tesla dan Computed Tomography (CT) 256 keping yang dapat memastikan diagnosis tepat dan rawatan efisien bagi semua pesakit.
Terdahulu, Naib Canselor UniSZA, Profesor Datuk Dr. Fadzli Adam berkata, HoSZA telah diserahkan kepada UniSZA pada 7 Februari 2022 selepas sembilan tahun pembinaan sejak 2014.
Menurutnya, hospital itu telah membuka beberapa perkhidmatan termasuk Klinik Perubatan Am dan memiliki fasiliti seperti Klinik Pakar, Jabatan Kecemasan dan 200 katil untuk pesakit dalam Fasa 1.
“Fasa 2 pula sedang dirancang dengan penambahan lebih banyak fasiliti dan katil, menjadikan jumlah keseluruhan katil sebanyak 400.
“HoSZA juga mengintegrasikan prinsip mesra syariah dalam setiap aspek penjagaan para pesakit,” katanya. – UTUSAN










