PETALING JAYA: Suspek kedua yang ditahan bagi siasatan kes simbah asid membabitkan penyerang negara, Faisal Halim kelmarin sebuah pusat beli-belah di Damansara di sini direman lima hari bermula hari ini hingga 11 Mei ini.
Mengesahkan perkara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian terbabit.
Beliau turut memaklumkan siasatan kes berkenaan kini diambil alih oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
“Suspek direman lima hari hingga 11 Mei, dan siasatan diambil alih oleh USJT,” katanya ringkas ketika dihubungi di sini hari ini.
Sebelum itu, Hussein memaklumkan suspek kedua dalam kes ini iaitu seorang lelaki tempatan berusia 30-an itu ditahan di Bandar Baru Bangi dekat sini, lewat petang, semalam.
Beliau turut memaklumkan suspek pertama yang ditahan di Pandan Indah, Kuala Lumpur, kelmarin akan dibebaskan selepas direman dua hari kerana didapati tiada kaitan dengan kejadian.
Bagaimanapun dia akan ditahan semula selepas ujian saringan air kencing didapati positif dadah.
Suspek pertama berusia 20-an itu ditahan berdasarkan nombor pendaftaran sebuah motosikal yang digunakan dalam kejadian berkenaan.
Faisal mengalami kecederaan melecur tahap empat selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali menyebabkan kecederaan pada muka dan badannya.
Beliau dikatakan diserang ketika berada di sebuah pasar raya terkemuka di Kota Damansara kira-kira pukul 5 petang.
Akibat kejadian itu difahamkan beliau kini dirawat di Unit Rawatan Rapi di sebuah hospital dan keadaan beliau kritikal kerana melecur tahap empat.
Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Datuk Seri Shahril Mokhtar turut mengesahkan keadaan Faisal membimbangkan kesan daripada kelecuran tahap empat dialaminya. – UTUSAN










