Simbah asid: 23 individu diambil keterangan

Simbah asid: 23 individu diambil keterangan

FAISAL HALIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis sehingga kini merakam keterangan seramai 23 individu bagi membantu siasatan kes simbah asid membabitkan pemain Selangor FC, Faisal Halim pada 5 Mei lalu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata,semua individu itu adalah mangsa dan saksi-saksi kejadian tersebut.

Bagaimanapun, katanya, belum ada mana-mana pihak setakat tampil memberi maklumat bagi membantu siasatan berdasarkan fotofit yang didedahkan polis.

“Seramai 23 individu diambil keterangan berhubung kes ini. Justeru, kita memohon mana-mana pihak mempunyai maklumat untuk tampil bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Terdahulu, tular rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dipercayai kejadian simbah asid yang menimpa Faisal Halim di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya, 5 Mei lalu.

Video rakaman itu ditularkan menerusi aplikasi X (Twitter) oleh beberapa pemilik akaun semalam.

Menerusi rakaman itu, kelihatan seorang lelaki disyaki penyerang, bersembunyi di belakang sebuah kenderaan di tempat parkir kenderaan.

Kemudian kelihatan kelibat seorang lelaki dipercayai Faisal sedang berjalan diekori seorang wanita yang dipercayai isterinya menuju ke arah sebuah kereta.

Lelaki yang bersembunyi di belakang kenderaan itu kemudian keluar dari belakang kenderaan dan mengekori lelaki dipercayai Faisal lalu menyimbah sesuatu ke arahnya sebanyak dua kali.

Lelaki yang terkena cecair itu dilihat cuba mengelak dan kemudian lari untuk menyelamatkan diri.

Penyerang yang bertopi dan memakai pelitup muka itu kemudian melarikan diri dengan membonceng sebuah motosikal ditunggang seorang lelaki lain yang menunggunya tidak jauh dari tempat kejadian.

LAKARAN fotofit suspek simbah asid kes Faisal Halim

Dalam pada itu, ditanya sama ada polis akan mendedahkan fotofit seorang lagi suspek dipercayai menunggang motosikal dalam kejadian terbabit, Razarudin memaklumkan, lakaran wajah suspek adalah berdasarkan maklumat saksi berhampiran lokasi kejadian.

“Fotofit yang didedahkan hasil keterangan saksi yang berada di lokasi kejadian. Ketika itu, seorang lagi suspek yang menaiki motosikal berada agak jauh dari saksi-saksi lain, jadi kita tidak dapat lakaran wajahnya.

“Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan dalam kes ini,” katanya.

Ahad lalu, Razarudin memaklumkan, pihaknya telah mengedarkan fotofit atau lakaran wajah dipercayai suspek terbabit serangan asid itu.

Beliau meminta orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat berkaitan individu berkenaan diminta tampil bagi membantu mengesan suspek yang menyerang pemain kebangsaan itu.

Suspek dianggarkan berusia 30-an, berketinggian 165 sentimeter (cm), tubuh bersaiz sederhana dan kulit sawo matang.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bahagian Pendakwaan Undang-undang (D5), Inspektor Jagachandaran Murugesen di talian 0125848166 atau 0322666071.

Pada 5 Mei lalu, media melaporkan, Faisal yang juga pemain sayap pasukan kebangsaan itu mengalami melecur tahap empat selepas disimbah asid dalam kejadian di pusat beli-belah di Damansara di sini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN