DUNGUN: Polis menahan seorang lelaki tempatan bersama lapan lelaki warganegara Myanmar selepas mengejar sebuah kenderaan yang disyaki terlibat dengan penyeludupan migran sejauh kira-kira 150 kilometer, semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Setiu, Asisten Superintenden Burhanuddin Mustafa berkata, ketika pihak polis melakukan rondaan di kawasan Sungai Tarom, Setiu kira-kira pukul 6.20 pagi, pihaknya telah mengesan sebuah kenderaan jenis Toyota Corolla yang berada dalam keadaan mencurigakan.
“Pemandu kenderaan itu bertindak memecut laju kereta selepas pihak polis mengarahkan suspek memberhentikan kenderaan.
“Pasukan peronda telah mengekori kereta tersebut melalui Kuala Berang, Hulu Terengganu hingga ke kawasan Dungun kira-kira dua jam, sebelum kenderaan itu berjaya dipintas di Ladang Sawit Aspek 2, Jalan Jerangau-Jabor, berhampiran Bukit Besi dengan bantuan polis Dungun dan Hulu Terengganu sekitar pukul 8.20 pagi,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Burhanuddin berkata, hasil pemeriksaan mendapati kenderaan itu dinaiki seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun bersama lapan warganegara Myanmar berusia lingkungan 19 hingga 38 tahun.
“Pemandu lelaki yang berasal dari Gambang, Pahang itu mendapati lelaki terbabit mempunyai lapan rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan kenderaan yang digunakan itu juga menggunakan nombor pendaftaran palsu,” karanya.
Menurutnya, kes akan disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 26J Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan
Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63. – UTUSAN










