ANTALYA: Taktik licik seorang penumpang yang cuba menyeludup wang tunai €381,750 (RM1.7 juta) di dalam lampin bayi di Lapangan Terbang Antalya, Turkiye akhirnya terbongkar.
Ini kerana ia berjaya dikesan pihak berkuasa kastam negara itu.
Wang tunai dalam mata wang asing yang tidak diisytiharkan itu bernilai lebih RM1.7 juta ketika cuba dibawa masuk oleh suspek.
Suspek menaiki pesawat dari ibu negara Perancis, Paris. Susulan rampasan itu, semua wang itu telah disita.
Tindakan undang-undang di bawah Akta Antiseludup telah difailkan terhadap penumpang terbabit.
Kementerian Perdagangan Turkye dalam satu kenyataan berkata, rampasan itu berjaya dilaksanakan hasil daripada kecekapan operasi penguatkuasaan. Operasi itu dijalankan secara berterusan bagi mengekang aktiviti penyeludupan di pintu masuk negara.
Kejayaan itu dicapai selepas Pasukan Penguatkuasaan Kastam daripada Kementerian Perdagangan melakukan analisis risiko dan pemantauan rapat terhadap profil penumpang.
Dalam operasi khas yang diseliakan oleh Direktorat Perisikan dan Antiseludup Penguatkuasaan Kastam Antalya itu, beg pakaian seorang penumpang warga asing dari Lapangan Terbang Paris telah ditandakan sebagai mencurigakan sebelum ditahan di pos pemeriksaan.
Sebaik pemeriksaan teliti dilakukan ke atas bagasi suspek, pihak berkuasa dikejutkan dengan kaedah penyamaran luar biasa apabila membuka bungkusan yang dibawa. Pemeriksaan mendapati timbunan wang kertas euro telah disusun dan disembunyikan dengan rapi di dalam lampin-lampin bayi bagi mengaburi mata petugas keselamatan.
Hasil pengiraan rasmi mengesahkan jumlah keseluruhan wang yang cuba diseludup itu adalah sebanyak €381,750 euro.
Pihak kastam bertindak menyita sepenuhnya wang tunai berskala besar itu kerana cubaan membawa masuk tanpa dokumen pengisytiharan yang sah di pintu sempadan negara. – AGENSI










