HULU SELANGOR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kubu Baharu, Pang Sock Tao mahu mendahulukan penyelesaian masalah tempatan seperti jalan gelap dan rosak serta aduan-aduan lain selepas dipilih sebagai wakil rakyat di kawasan itu, semalam.
Menurutnya, aduan-aduan tersebut diterimanya sepanjang berkempen selama dua minggu pada pilihan raya kecil (PRK) di sana dan akan diberi keutamaan sebelum melaksanakan manifestonya.
“Dalam manifesto, saya akan mendahulukan masalah tempatan yang mana perkara kecil walaupun ada aduan yang mungkin bukan projek besar dan sebagainya, tetapi pada saya sekecil-kecil aduan pastinya mempengaruhi kehidupan penduduk setempat.
“Jadi saya akan mengutamakan penyelesaian masalah tempatan seperti lampu jalan raya, longkang, saya akan bekerjasama dengan Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) dan juga kerajaan negeri untuk selesaikan masalah tempatan, bagi saya itu masalah yang amat terdesak,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Beliau ditemui ketika sedang mengedarkan 400 kuntum bunga kepada penduduk di sekitar Rasa dan Pasar Awam Kuala Kubu Baharu sempena sambutan Hari Ibu dan penghargaan kepada pengundi yang memilihnya sebagai wakil rakyat baharu.
Tambahnya, antara langkah jangka panjang yang menjadi fokus utama beliau adalah untuk menyelesaikan masalah liputan dan capaian internet di sana selain membaiki mutu perkhidmatan pengangkutan awam serta menyediakan pengangkutan untuk pelancongan.
“Cadangan saya adalah untuk mewujudkan bas pelancongan pada hujung minggu untuk membawa pelancong mengikuti Jejak-Jejak Pelancongan Kuala Kubu Baharu,” ujarnya.
Terdahulu, Sock Tao daripada Pakatan Harapan (PH) yang mewakili Kerajaan Perpaduan diumum menang PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu dengan memperolehi 3,869 majoriti menerusi 14,000 undi.
Beliau menewaskan calon PN, Khairul Azhari Saut yang memperoleh 10,151 undi dan dua lagi iaitu calon bebas Nyau Ke Xin dan Hafizah Zainudin daripada Parti Rakyat Malaysia (PRM) dalam pertembungan empat penjuru.
Dalam pada itu, Sock Tao yang juga Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, memberitahu selain isu setempat, beliau juga mahu memastikan projek-projek pembangunan pelbaga skala di kawasannya siap mengikut jadual ditetapkan.
“Sebelum ini menurut laporan daripada Ahli Majlis, pasar ini (Pasar Awam Kuala Kubu Baharu) akan siap pada Julai dan saya mengikuti progres baik pulih pasar itu.
“Saya juga akan tinjau untuk memastikan pelaksanaan ataupun projek-projek (di Kuala Kubu Baharu) siap mengikut jadual ditetapkan,” jelasnya. – UTUSAN










