Dataran Merdeka dicemari sampah peminat bola

Dataran Merdeka dicemari sampah peminat bola

KAWASAN sekitar Dataran Merdeka yang dipenuhi sampah selepas aksi final Piala Dunia 2026 antara Sepanyol dan Argentina. - Sumber FB DBKL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kesedaran sivik rakyat Malaysia terhadap kebersihan masih di tahap menyedihkan setelah keadaan di Dataran Merdeka yang menjadi lokasi tumpuan aksi final Piala Dunia 2026 antara Sepanyol dan Argentina ditinggalkan dalam keadaan dipenuhi sampah.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam hantaran di Facebook miliknya berkongsikan keadaan lokasi bersejarah negara itu selepas ditinggalkan puluhan ribu peminat bola sepak yang menyaksikan aksi final Piala Dunia 2026 awal pagi tadi.

Meluahkan kekecewaannya, DBKL menzahirkan kesedihan melihat keadaan Dataran Merdeka dipenuhi sampah pelbagai jenis oleh pengunjung.

“Awal pagi tadi, ribuan orang berhimpun untuk bersorak, meraikan bola sepak dan berkongsi kegembiraan. Namun apabila sorakan berakhir, padang bersejarah ini ditinggalkan dalam keadaan dipenuhi sampah sarap.

“DBKL akan membersihkannya. Petugas kami akan turun mengutip apa yang ditinggalkan tetapi kebersihan Kuala Lumpur tidak seharusnya sentiasa bergantung pada orang lain yang datang membersihkan selepas kita pulang,” katanya hari ini.

Menurut DBKL, Dataran Merdeka merupakan lambang maruah dan sejarah negara namun cara pengunjung memanfaatinya telah mencerminkan bagaimana ia dihargai.

“Kita boleh meraikan dengan meriah. Kita boleh bersorak sepuasnya tetapi kebebasan untuk bergembira tidak pernah bermaksud kebebasan untuk mengotorkan ruang milik bersama.

“Kota yang hebat bukan hanya dinilai ketika orang ramai datang tetapi melalui keadaan yang mereka tinggalkan apabila pulang.

“Kuala Lumpur ialah rumah kita. Jagalah seperti kita menjaga rumah sendiri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN