Tengku Ampuan Pahang tawar tanah sendiri kepada Orang Kita di Kampung Sungai Cot

Tengku Ampuan Pahang tawar tanah sendiri kepada Orang Kita di Kampung Sungai Cot

TUNKU AZIZAH AMINAH MAIMUNAH ISKANDARIAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mempelawa mana-mana keluarga daripada masyarakat Orang Asli atau Orang Kita di Kampung Sungai Cot, Maran, dekat sini yang memerlukan penempatan untuk berpindah dan tinggal di tanah milik baginda di Kuala Wau, Maran.

Pengelola Bijaya Diraja Utama Istana Pahang, Mejar Jeneral Datuk Mohamed Zahari Yahya berkata, baginda menzahirkan rasa simpati dan dukacita serta prihatin terhadap isu pertikaian tanah yang membabitkan masyarakat Orang Kita di kawasan perkampungan tersebut.

Katanya, baginda sentiasa mengikuti perkembangan yang berlaku dan memahami kegusaran serta kesulitan dihadapi oleh masyarakat Orang Kita di kawasan berkenaan.

“Tunku Azizah Aminah Maimunah berpendapat, masyarakat Orang Kita bukan sekadar sebahagian daripada rakyat negeri Pahang, bahkan sentiasa mempunyai tempat yang begitu istimewa di hati baginda.

“Menerusi kajian tesis yang sedang disiapkan oleh baginda ketika ini, peranan Orang Kita adalah mustahak di dalam kemajuan negeri sejak dahulu lagi. Justeru itu, kesejahteraan dan masa depan mereka sentiasa menjadi antara perkara yang diberikan perhatian oleh baginda.

“Demi perasaan kasih dan tanggungjawab tersebut, baginda dengan penuh ihsan mempelawa mana-mana keluarga daripada masyarakat Orang Kita Kampung Sungai Cot, Maran yang memerlukan penempatan untuk berpindah dan tinggal di tanah milik baginda di Kuala Wau, Maran,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini. 

Mohamed Zahari berkata, Tunku Azizah Aminah Maimunah turut menegaskan bahawa masyarakat Orang Kita tidak perlu bimbang tentang masa depan mereka.

“Sekiranya pada masa hadapan tanah milik baginda di Kuala Wau itu dibangunkan, baginda akan memastikan masyarakat Orang Kita yang menetap di situ terus mempunyai tempat tinggal dan tidak dipinggirkan. Mereka akan terus dibela dan boleh tinggal di kawasan tersebut.

“Baginda juga menegaskan bahawa pelawaan ini tidak terhad kepada masyarakat Orang Kita Kampung Sungai Cot, Maran sahaja. Mana-mana masyarakat Orang Kita yang memerlukan tempat berteduh atau penempatan baharu juga adalah dipersilakan untuk tinggal di tanah milik baginda di Kuala Wau setelah mendapat perkenan baginda tuanku dan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuatkuasa,” katanya. 

Katanya, baginda berharap pelawaan itu dapat memberikan sedikit kelegaan kepada mereka yang terkesan, selain memastikan kebajikan masyarakat Orang Kita terus terbela tanpa mengira latar belakang atau keadaan.

“Pada masa yang sama, baginda menyeru agar semua pihak yang terlibat mengutamakan semangat permuafakatan, saling menghormati dan berunding dengan penuh hikmah dalam mencari jalan penyelesaian yang adil, berhemah serta memelihara kepentingan semua pihak.

“Baginda turut berharap agar segala usaha yang sedang dan akan dilaksanakan oleh pihak-pihak berkaitan dapat menghasilkan penyelesaian yang terbaik demi kesejahteraan masyarakat Orang Kita serta keharmonian negeri Pahang,” katanya.

Pertikaian itu mendapat perhatian Tunku Azizah Aminah Maimunah selepas Juliana Jazlin Ismail, 34, bersama anak perempuannya berusia tujuh tahun, melakukan perjalanan dari Maran untuk membawa kebimbangan masyarakatnya kepada perhatian kerajaan.

Juliana dilaporkan berjalan kaki dan menumpang kenderaan dalam perjalanan kira-kira 200 kilometer menuju kediaman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Selangor. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN