PETALING JAYA: Malaysia sedia membantu Uzbekistan menjadi pusat ilmu pengajian hadis dan latihan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, negara itu yang terletak di rantau Asia Tengah mempunyai potensi tinggi serta sejarah istimewa terutama pusat pembangunan berkaitan ahli hadis.
“Apabila Presiden Uzbekistan, Shavkat Mirziyoyev mahu menjadikan (Uzbekistan) sebagai pusat ilmu pengajian hadis dan latihan, tentunya ia akan mengundang kepakaran kita.
“Sebab itu saya minta Menteri Agama (Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar) dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) melihat bagaimana boleh kita manfaatkan kekuatan mereka dan di samping itu dapat juga lihat (bagaimana) mereka boleh menimba pengalaman dari Malaysia,” katanya kepada media Malaysia di akhir lawatan di Uzbekistan.
Dalam pada itu, Anwar menerusi hantaran di Facebook berkata, beliau dan delegasi Malaysia dibawa menziarahi Kompleks Laluan Sutera Samarkand yang antara lain menempatkan Kota Abadi.
Selain itu, Kompleks Shah-i-Zinda yang antara lain menempatkan makam Kusam ibn Abbas, sepupu Nabi Muhammad SAW yang juga antara pendakwah terawal membawa ajaran Islam ke Uzbekistan.
“Kami juga dibawa menziarah Makam Amir Temur, pemerintah agung Empayar Timurid yang mencetus pembinaan negara yang kukuh dan berpusat serta mengangkat ilmu pengetahuan dan kebudayaan.
“Kagum melihat keindahan binaan makam-makam di Shah-i-Zinda dan Makam Amir Temur yang mula dibina sekitar abad ke-11 dan dipelihara dengan baik oleh Kerajaan Uzbekistan,” kongsinya.
Seterusnya, Anwar berkata, delegasi Malaysia turut dibawa ke Registan Square yang menempatkan Ulugbek Madrasah yang merupakan antara masjid terkemuka dunia dan pernah menjadi pusat pengajian saintifik terbesar di Samarkand.
“Turut sempat bertemu sapa dengan empat pelajar Malaysia yang sedang mengikuti pengajian di Uzbekistan.
“Delegasi Malaysia kemudian dipaparkan dengan sejarah ketamadunan Uzbekistan, khususnya Samarkand yang menjadi lokasi penting dalam Laluan Sutera, menerusi persembahan projektor unik yang dipancarkan ke fakad madrasah,” kongsinya.
Sementara itu, dalam hantaran di laman sosial, beliau menyarankan syarikat dan agensi di Malaysia berubah dalam tempoh singkat seiring dengan perkembangan semasa.
Katanya, perkara itu antara ditekankan ketika berucap mengetuai delegasi Malaysia dalam Forum Perniagaan Peringkat Tertinggi Uzbekistan-Malaysia bersama-sama pimpinan Kerajaan Uzbekistan diketuai Timbalan Perdana Menteri, Jamshid Khodjaev.
Menurut beliau, syarikat dan agensi negara ini perlu belajar daripada keupayaan Uzbekistan mencetus perubahan, pemodenan dan kemajuan ekonomi dalam tempoh singkat.
“Meskipun negara seperti Malaysia dan Uzbekistan banyak bergantung pada pelaburan negara-negara besar, namun masa hadapan kita amat bergantung pada keupayaan membina kekuatan sendiri.
“Kedua-dua negara perlu menggunakan kekuatan masing-masing untuk meningkatkan hubungan perdagangan dan pelaburan.
“Kolaborasi sesama negara sedang membangun perlu diperkukuh untuk sama-sama menyokong pertumbuhan ekonomi dalam kalangan negara terlibat,” katanya. – UTUSAN










