KUBANG PASU: Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor secara terbuka memohon maaf di hadapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekiranya beliau pernah membuat ucapan kurang sesuai selama berkhidmat.
Menurut beliau, sebagai insan yang lemah, ketelanjuran dan kesilapan pastinya ada dalam diri masing-masing.
Beliau turut mengharapkan supaya pertemuan mereka sempena Syawal akan membuka lembaran baharu untuk sama-sama melangkah dengan hati yang bersih, ikhlas dan bertanggungjawab dalam usaha membela nasib rakyat.
“Setinggi-tinggi penghargaan ingin saya rakamkan kepada Perdana Menteri dan ahli jemaah menteri atas kesudian melapangkan masa ke Kedah dan berkongsi pandangan atas usaha pembangunan yang dirancang di negeri ini.
“Sesungguhnya perhatian dan sokongan seperti ini amat kami dambakan untuk sama-sama melangkah mendepani cabaran ekonomi dan sosial yang semakin getir.
“Di kesempatan ini sebagai manusia biasa yang tidak maksum, saya mohon ampun dan maaf bagi pihak diri serta kerajaan negeri sekiranya selama berkhidmat sebagai Menteri Besar dan atas kapasiti politik, saya ada melakukan ucapan kurang sesuai dalam konteks ‘hablumminannas’ (hubungan sesama manusia),” katanya ketika berucap pada Sambutan Aidilfitri Madani di sini, hari ini.
Mengulas lanjut kata Muhammad Sanusi, kepentingan rakyat harus mengatasi keghairahan untuk mengekalkan kuasa politik dengan segala yang bersifat politik sepatutnya hanya berkisar dalam medan itu saja.
“Sebarang perkara bersifat pentadbiran dan pemerintahan pula, harus dijalankan atas landasannya. Ini akan memastikan kita sebagai ahli politik yang diangkat menjadi pemimpin, sentiasa berwaspada serta berhati-hati dalam semua situasi termasuk ketika menyuarakan pandangan dan permintaan bagi memastikan kepentingan rakyat sentiasa diutamakan.
“Justeru kami di pihak pentadbiran negeri sentiasa mengharapkan supaya negeri ini akan sentiasa diberi perhatian dan tidak dipinggirkan,” katanya.
Muhammad Sanusi berkata, beliau bukan berniat mahu memberi kuliah politik kerana semua yang hadir pada majlis tersebut dianggap sebagai ‘abang’ yang jauh lebih berpengalaman dalam dunia politik.
“Ini sekadar untuk dijadikan renungan dan muhasabah. Saya amat menghargai pertemuan ini kerana bagi saya, ini adalah momen yang cukup bermakna untuk menyatukan hati kita smeua dalam satu perjuangan serta meminimumkan perbezaan,” katanya.
Muhammad Sanusi turut berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana memberi jaminan bahawa Kerajaan Persekutuan akan memberi perhatian terhadap projek pembangunan di negeri ini terutamanya di kawasan-kawasan luar bandar.
“Saya juga mengharapkan agar pelan pembangunan yang telah disusun oleh kerajaan negeri termasuk Kedah Aerotropolis yang memerlukan kelulusan Kerajaan Persekutuan segera diluluskan,” katanya. -UTUSAN










