Syria tumpaskan dalang letupan ketika lawatan Macron - Utusan Malaysia

Syria tumpaskan dalang letupan ketika lawatan Macron

ANGGOTA pasukan keselamatan berkawal berhampiran Hotel Four Seasons susulan dua letupan yang berlaku di kawasan berdekatan di Damsyik.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DAMSYIK: Pihak berkuasa Syria pada lewat Khamis mengumumkan berjaya menahan kumpulan dikaitkan dengan Daesh yang dipercayai bertanggungjawab terhadap dua letupan bom ketika lawatan Presiden Perancis, Emmanuel Macron ke Damsyik awal minggu ini.

Serangan itu mencemari lawatan pertama seorang ketua negara Kesatuan Eropah (EU) ke Syria sejak bekas pemimpin, Bashar al-Assad digulingkan pada Disember 2024, ketika Presiden, Ahmed al-Sharaa berusaha memulihkan imej negara selepas lebih sedekad dilanda konflik.

Dalam sidang media bersama rakan sejawatannya dari Syria, Macron menegaskan pihaknya tidak boleh membiarkan diri digugat oleh serangan seumpama itu, manakala kedua-dua pemimpin berikrar memperkukuh hubungan dua hala menerusi pelantikan duta tetap di kedua-dua negara.

Menteri Dalam Negeri Syria, Anas Khattab berkata, rangkaian yang bertanggungjawab terhadap serangan bom di Damsyik dua hari lalu yang mengorbankan seorang individu dan mencederakan puluhan yang lain itu kini berada dalam tahanan.

“Selepas siasatan selesai, kami akan mendedahkan kepada umum identiti anggota kumpulan itu, peranan mereka dan semua kaitan serta hubungan mereka,” katanya menerusi platform X.

Ketua Keselamatan Dalam Negeri wilayah Damsyik, Ahmad Dalati berkata, siasatan awal menunjukkan rangkaian berkenaan mempunyai kaitan dengan kumpulan Daesh.

Kementerian Dalam Negeri dalam satu kenyataan memaklumkan kumpulan itu diberkas menerusi beberapa serbuan serentak di lokasi berbeza di sekitar Damsyik dan kawasan pinggir bandar.

Menurut kementerian itu, operasi dijalankan di empat kawasan kejiranan, termasuk dua yang majoriti penduduknya daripada komuniti Alawiyah, iaitu kelompok minoriti yang dikaitkan dengan al-Assad.

Wartawan AFP mendengar sekurang-kurangnya satu letupan sebelum melihat kepulan asap berhampiran hotel penginapan Macron pada Sabtu lalu, manakala pasukan keselamatan menutup jalan dan ambulans dikerahkan ke lokasi kejadian.

Bahan letupan itu ditanam berhampiran Hotel Four Seasons, tempat Macron bermalam, dengan Kementerian Dalam Negeri Syria memaklumkan satu bom disembunyikan dalam tong sampah manakala satu lagi diletakkan di dalam sebuah kenderaan berhampiran hotel itu di tengah ibu negara.

Letupan berlaku selepas Macron meninggalkan hotel berkenaan dan beberapa minit sebelum media kerajaan Syria mengumumkan ketibaannya di istana presiden untuk bertemu Ahmed.

Wartawan AFP di lokasi melihat kesan darah di jalan berhampiran hotel mewah itu serta tingkap bangunan Kementerian Pelancongan yang pecah.

Dalam sidang media bersama selepas kejadian, Macron mengulangi pendirian pihaknya tidak boleh membiarkan sera­ngan sedemikian menggugat usaha yang sedang dijalankan, selain menegaskan sokongan Perancis terhadap Syria.

Sharaa pula memuji keberanian Macron kerana meneruskan lawatan itu walaupun berlaku insiden pengeboman.

Beliau turut mengumumkan persetujuan kedua-dua negara untuk memulakan proses pertukaran duta tetap antara Damsyik dan Paris secepat mungkin, sekali gus menandakan pemulihan hubungan diplomatik ke tahap normal.

Macron menjadi ketua negara pertama dari EU melawat Syria sejak kejatuhan Assad pada 2024.

Syria menyertai pakatan diketuai Amerika Syarikat (AS) menentang Daesh tahun lalu, selepas kumpulan itu sebahagian besarnya ditewaskan di Iraq dan Syria menjelang 2019.

Insiden pada Selasa merupakan letupan kedua di ibu negara Syria bulan ini selepas satu letupan di sebuah kafe di Damsyik pada 2 Julai mengorbankan 10 orang.

Atas faktor keselamatan, Macron hanya mengumumkan lawatan itu selepas pesawatnya mendarat di Syria pada Isnin. –  AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN