Dipulau rakan kerana ada kekasih

Dipulau rakan kerana ada kekasih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Soalan:

Saya dipulau rakan sekelas. Mereka tuduh saya ‘sudah berubah’ sejak ada teman lelaki. Saya tidak pernah mengabaikan mereka malah sering mendahulukan mereka dalam semua urusan. Saya cuba jelaskan tapi diabaikan hingga rasa murung.

Rakan Teraniaya

Jawapan:

Persahabatan dalam kalangan rakan sebaya merupakan aspek penting dalam kehidupan pelajar. Namun, dinamika persahabatan boleh berubah apabila seseorang mula bercinta.

Situasi dituduh ‘berubah’ atau dipinggirkan hanya kerana mempunyai teman lelaki boleh menimbulkan tekanan emosi, terutamanya apabila penjelasan tidak lagi diterima oleh rakan-rakan.

Keadaan ini boleh menjejaskan kesejahteraan diri dan rutin harian. Tip untuk panduan anda:

Fahami emosi rakan
Reaksi rakan mungkin berpunca daripada rasa cemburu, takut kehilangan perhatian atau salah faham terhadap perubahan dalam persahabatan. Memahami perkara ini membantu anda mengurangkan kecenderungan untuk menyalahkan diri secara berlebihan.

Elakkan over-explaining
Jika penjelasan sudah diberikan tetapi tidak diterima, berhenti memaksa diri untuk meyakinkan mereka. Beri ruang untuk bertenang kerana terlalu banyak penjelasan boleh meningkatkan tekanan emosi diri sendiri serta membuatkan anda semakin penat secara mental.

Nilai kualiti persahabatan
Gunakan situasi ini untuk menilai sama ada hubungan tersebut sihat dan saling menyokong. Persahabatan yang baik tidak seharusnya bersyarat atau membuatkan anda merasa tersisih kerana pilihan yang berikan.

Jaga kesejahteraan diri
Apabila emosi mula menjejaskan tidur dan selera makan, beri perhatian kepada keperluan diri. Lakukan aktiviti yang memberi ketenangan seperti berehat, mendengar muzik atau menulis jurnal serta kekalkan rutin harian secara perlahan untuk bantu menstabilkan semula emosi anda.

Luaskan sokongan sosial
Cuba berinteraksi dengan rakan lain atau sertai aktiviti-aktiviti anjuran kampus bagi mengurangkan fokus kepada satu kumpulan sahaja. Ini membantu anda untuk membina sokongan sosial yang lebih sihat, mengurangkan rasa terasing dan meningkatkan keyakinan diri.

Fokus matlamat diri
Alihkan perhatian kepada akademik dan matlamat peribadi. Bina keyakinan melalui pencapaian diri sendiri, bukan semata-mata penerimaan sosial yang bersifat sementara atau bersyarat, sekaligus membantu anda menjadi lebih stabil dan berwawasan.

Kesimpulannya, setiap perubahan dalam kehidupan boleh memberi kesan kepada hubungan persahabatan. Walaupun dipinggirkan satu pengalaman yang menyakitkan, ia juga boleh menjadi ruang untuk anda mengenali nilai diri dan memahami erti persahabatan yang sebenar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN