PMB Dana Bestari dinobat dana ekuiti Islam terbaik 

PMB Dana Bestari dinobat dana ekuiti Islam terbaik 

PMB Investment Berhad.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: PMB Investment Berhad (PMB Investment) menerima pengiktirafan sebagai dana berprestasi terbaik dalam kategori Ekuiti Teras (Islamik) bagi PMB Dana Bestari di FSMOne Recommended Unit Trust Awards 2026/2027. 

Syarikat pengurusan dana Islam berlesen di bawah Pelaburan MARA Berhad itu berkata, kemenangan ini merupakan pengiktirafan tahun kedua berturut-turut yang diterima oleh dana tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif PMB Investment, Hang Tuah Amin Tajudin berkata, dana ini mencatatkan pulangan sebanyak 5.83 peratus bagi tempoh satu tahun berakhir 30 Jun 2026, 15.89 peratus (tiga tahun) dan 43.02 peratus (lima tahun), mencerminkan strategi jangka panjang yang  konsisten.

“Dalam keadaan pasaran yang sentiasa berubah, PMB Dana Bestari kekal berdaya tahan dan terus memacu nilai kepada para pelabur kami. 

“PMB Investment berharap pengiktirafan ini dapat mendorong lebih ramai rakyat Malaysia untuk mempertimbangkan dana unit amanah yang diuruskan secara profesional sebagai sebahagian daripada perancangan kewangan jangka panjang mereka,” katanya dalam kenyataan.

Pengerusi PMB Investment, Datuk Mohd Idzwan Izuddin Ab Rahman berkata, pengiktirafan ini sekali lagi menggambarkan kekuatan proses pelaburan PMB Investment, disokong oleh tadbir urus yang kukuh serta rangka kerja pengurusan risiko yang berhemah. 

“Kami kekal komited untuk terus memberi penyelesaian pelaburan bagi memenuhi keperluan pelabur runcit, borong dan institusi yang sentiasa berkembang, di samping mengekalkan standard profesional, integriti dan pematuhan syariah yang tertinggi,” katanya. 

Dianjurkan oleh iFAST Capital Sdn. Bhd., Anugerah FSMOne Recommended Unit Trust Funds 2026/27 memberi pengiktirafan kepada dana unit amanah yang menunjukkan prestasi cemerlang berdasarkan kriteria penilaian kuantitatif dan kualitatif yang ketat. 

FSMOne Malaysia adalah sebuah platform pelaburan pelbagai aset terkemuka di bawah iFAST Capital, diiktiraf secara meluas atas kepakaran menyeluruh dalam penyelidikan dana serta penilaian portfolio pelaburan

Dalam pada itu,  PMB Investment telah mengisytiharkan pengagihan pendapatan bagi PMB Dana Mutiara untuk tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026. 

Nilai Aset Bersih (NAB) seunit sebelum agihan diselaraskan daripada RM0.3564 kepada RM0.3390 selepas agihan. 

Agihan ini mencerminkan hasil sebanyak 5.58 peratus serta jumlah pulangan sebanyak 12.57 peratus, berdasarkan NAB penutup seunit dana pada 30 Jun 2026.

“PMB Dana Mutiara merupakan dana unit amanah patuh syariah yang direka untuk menjana pendapatan stabil serta mencapai pertumbuhan modal sederhana hingga jangka panjang. 

“Dana ini melabur dalam portfolio pelaburan yang pelbagai dan patuh syariah, merangkumi ekuiti serta sekuriti berpendapatan tetap, sekali gus menawarkan pendekatan pelaburan yang seimbang dalam usaha pembinaan kekayaan berlandaskan prinsip pelaburan Islam,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN