SHAH ALAM: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Melawati, Datuk Noorazley Yahya mengesahkan beliau hanya penjamin kepada sebuah syarikat berkaitan notis kebankrapan yang tular di media sosial baru-baru ini.
Menurutnya, notis kebankrapan itu diterima beliau pada Februari lalu dan pelik ia seperti sengaja disebarkan menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu hari ini.
“Itu hanya notis kebankrapan malah saya tidak diisytiharkan bankrap selaras dengan Akta Insolvensi 1967. Isu itu sepatutnya tidak timbul kerana saya telah membuat bayaran kepada pihak bank,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.
Terdahulu, tular notis kebankrapan kepada Noorazley bertarikh 9 Februari lalu di sebuah akhbar tempatan.
Notis itu difailkan oleh Tetuan Sidek, Teoh, Wong & Dennis yang merupakan peguam bagi pihak pemiutang penghakiman.
Jelas Noorazley, pihak pemiutang meminta penjamin membayar dan bayaran itu telah dibuat.
“Malah, saya juga bukan individu yang dibankrapkan sebaliknya sebagai penjamin kepada syarikat,” katanya. – UTUSAN
NOORAZLEY Yahya (kiri) dan notis kebankrapan yang tular di media sosial.










