Saya bukan orang yang boleh menerima poligami -Abby Abadi - Utusan Malaysia

Saya bukan orang yang boleh menerima poligami -Abby Abadi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sebenarnya, pelakon dan penyanyi ini sangat berhati-hati menyusun kata ketika dia bersetuju untuk menjawab segala pertanyaan yang diajukan mengenai kontroversi anaknya, Marissa Dania.

Tentu sekali kita dapat meneka bahawa dia sangat bimbang seandainya tutur kata yang diucapkan dan perkongsian mengenai perihal rumah tangga si anak mungkin menyebabkan pelbagai pihak salah faham atau tersinggung.

Ini kerana, di hujung cerita, Abby Abadi tetap seorang ibu. Dia cuma mahu hanya yang terbaik buat semua anak-anaknya.

Jadi, apabila Marissa mengejutkan keluarga dan masyarakat dengan kontroversi skandal dan kemudiannya membuat keputusan sendiri untuk berkahwin dengan lelaki berstatus suami orang baru-baru ini, sebagai Ibu, Abby mengakui sukar menidakkan bahawa hatinya cukup terguris.

Bagaimanapun, apa cara terbaik untuk mengendalikan ‘ribut’ yang menimpa keluarganya ini sedangkan sebelum ini semuanya tampak baik-baik sahaja.

“Sebenarnya, masa awal-awal kejadian, saya cuba selesaikan dengan cara terbaik. Memang saya kena akui bahawa besar kesilapan Marissa kerana tindakannya itu. Tetapi, kesalahan tidak sepatutnya diletakkan cuma pada bahu anak saya.

“Kenapa? Tidakkah Aslam itu tiada salahnya langsung? Wanita dilabel sebagai penyondol, bagaimana pula dengan si lelaki?

“Masa saya dengan bekas suami dulu (Norman Hakim), tak pernah saya cuma salahkan Memey sebab saya tak tak tahu mereka berkawan. Saya salahkan Norman.

“Pendek kata, bukan wanita sahaja, lelaki itu pun salah. Orang kata tepuk sebelah tangan tak akan berbunyi. Ini tidak, ramai yang menghentam wanita bagai tiada hari esok,”katanya.

Berkongsi lanjut, kata Abby, sebagai ibu, bukan tidak pernah dia berbual dengan Marissa ketika dia menginjak dewasa tentang beratnya isu poligami dan bagaimana dia sendiri menolak untuk hidup dalam institusi perkahwinan seperti itu.

Itu juga menjadi punca mengapa ketika Norman diketahui berhubungan dengan Memey sewaktu mereka masih bergelar suami isteri, Abby memilih untuk ‘angkat kaki’ dan rela bergelar janda sebelum ini.

“Untuk orang lain saya tak tahu. Tetapi saya adalah jenis orang yang tidak boleh menerima poligami. Itu sebab dulu pun saya minta cerai dengan Norman sebab saya tak boleh hidup berkongsi.

“Tetapi Allah SWT menguji dan hal itu terjadi pada anak saya. Bila orang bertanya, terus-terang, saya sendiri tak dapat nak jelaskan mengapa Marissa memilih untuk berada di posisi isteri kedua kepada lelaki pilihannya.

“Demi Allah, bukan saya nak menangkan anak, tetapi Marissa adalah seorang anak yang pemalu. Introvert. Jenis tak bercakap sangat. Saya pun tak jangka perkara seperti ini berlaku,”katanya.

Aslam pun dah seronok sangat

Mengulas lanjut, kata Abby, pada waktu ini, meskipun masih ralat dengan tindakan si anak, sebagai seorang hambaNya, dia mengakui harus menerima dengan reda akan ketentuan Allah ini.

Malah, dalam nada tenang, Abby mengakui ujian yang dilaluinya masih kecil jika hendak dibandingkan dengan orang lain yang mungkin lebih susah.

Pada masa yang sama, tidak pula Abby menganggap bahawa kontroversi yang terjadi adalah satu karma buat Norman, yang suatu ketika dahulu pernah meragut kepercayaan Abby sebagai seorang isteri.

“Apa yang boleh saya cakap, saya tak suka nak salahkan orang lain. Dulu punya cerita, saya pun dah lupakan. Karma untuk Norman? Tak boleh cakap begitu kerana ini pun anak dia juga.

“Untuk hal ini, saya tengok isteri pertama Aslam pun sudah boleh menerima, Aslam itu pun dah seronok sangat nampaknya. Jadi, kita doakan sajalah yang baik-baik. Itu pilihan mereka.

“Saya tengok masing-masing ada pendidikan agama dan mencari jalan halal untuk elak maksiat. Daripada anak saya buat benda pelik dan saya juga berputih mata hilang anak, lebih baik saya doakan mereka.

“Bagaimanapun, besar harapan saya untuk lihat Aslam memainkan peranan sebagai suami dalam memastilan keharmonian hidup berpoligami,”katanya.
Habis

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya