Seludup rokok secara kecil-kecilan guna kereta elak dicekup - Utusan Malaysia

Seludup rokok secara kecil-kecilan guna kereta elak dicekup

MOHD. Khairulanuar Abd Majid (dua, kanan) bersama pegawainya membuat perlupusan rokok pada Program Perlupusan Rokok Rampasan di Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu mengesan modus operandi baharu oleh sindiket penyeludupan rokok bagi mengelak dicekup pihak berkuasa.

Pengarahnya, Kepten Maritim Mohd. Khairulanuar Abd. Majid, berkata, sindiket terbabit dikesan menyeludup secara runcit atau kecil-kecilan menggunakan kereta berbanding lori untuk diedarkan ke pasaran tempatan.

Beliau berkata, taktik baharu itu membolehkan sindiket rokok seludup dapat melakukan kegiatan mereka dengan lebih cepat untuk melarikan diri selepas masuk ke sempadan negeri ini.

“Sekarang sindiket tidak lagi memindahkan barang (rokok) dalam kuantiti yang banyak sebaliknya secara kecil-kecilan dan tidak memerlukan lori tiga atau lima tan seperti sebelum ini.

“Mereka dikesan menaiki satu atau dua buah kereta sahaja untuk lebih mudah meloloskan diri jika dicekup atau ditahan pihak berkuasa.

“Walaupun sindiket tersebut menukar modus operandi, kami percaya mereka masih menggunakan gudang sementara dan akan terus melakukan operasi bagi membanteras kemasukan rokok seludup,” ujarnya.

Mohd. Khairulanur berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyaksikan pelupusan 1.9 juta batang rokok seludup bernilai RM1.3 juta tidak termasuk duti cukai di Pejabat APMM negeri di sini, hari ini.

Menurut beliau, rokok berkenaan dirampas APMM Terengganu menerusi serbuan di daerah Besut pada 9 April tahun lalu disyaki diseludup dari negara jiran untuk dijual di pasaran tempatan.

Tambahnya, proses pelupusan itu memakan masa dua hari dengan cara mengisa sebelum sisa rokok dibuang dan ditanam di tapak pelupusan sampah di Kampung Sungai Ikan, Kuala Nerus. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN