Presiden Iran, semua penumpang terbunuh dalam nahas helikopter

Presiden Iran disahkan terbunuh dalam nahas helikopter

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUBAI:  Presiden Iran, Ebrahim Raisi, seorang yang dilihat bakal pengganti Pemimpin Tertinggi Ayatollah Ali Khamenei, disahkan terbunuh dalam nahas helikopter di kawasan pergunungan berhampiran sempadan Azerbaijan.

Hal itu disahkan pegawai dan media kerajaan.

Serpihan helikopter yang terhempas petang semalam membawa Raisi dan Menteri Luarnya,  Hossein Amirabdollahian ditemukan hari ini selepas pencarian semalaman dalam keadaan ribut salji.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Presiden Raisi, menteri luar dan semua penumpang dalam helikopter itu terbunuh dalam nahas itu,” kata seorang pegawai kanan Iran kepada Reuters, meminta untuk tidak dinamakan kerana sensitiviti perkara itu.

Kematian Raisi kemudiannya disahkan dalam satu kenyataan dalam media sosial oleh Naib Presiden Iran, Mohsen Mansouri dan di televisyen negara.

TV negara melaporkan bahawa imej dari laman web itu menunjukkan pesawat itu terhempas ke puncak gunung, walaupun tiada kata rasmi mengenai punca nahas itu.

Agensi berita negara IRNA berkata, Raisi terbang menggunakan helikopter Bell 212 buatan Amerika Syarikat.

Raisi, 63, dipilih sebagai Presiden Iran pada 2021 dan sejak memegang jawatan itu, beliau mengarahkan undang-undang moral diperketatkan, menyelia tindakan keras terhadap protes antikerajaan dan mendesak bersungguh-sungguh dalam rundingan nuklear dengan kuasa dunia.

Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei yang memegang kuasa muktamad dengan kata putus mengenai dasar luar dan program nuklear Iran sebelum ini berusaha untuk meyakinkan rakyat Iran dan berkata tidak akan ada gangguan kepada hal ehwal negara.

Pasukan penyelamat bertempur dengan ribut salji sepanjang malam untuk sampai ke bangkai pesawat pada awal pagi tadi.

“Dengan penemuan lokasi nahas, tiada tanda-tanda kehidupan dikesan dalam kalangan penumpang helikopter itu,” kata ketua Bulan Sabit Merah Iran, Pirhossein Kolivand, kepada TV kerajaan.

Sebelum ini, penyiar kebangsaan itu menghentikan semua program biasa dan menyiarkan doa untuk Raisi di seluruh negara.

Beberapa negara menyatakan kebimbangan dan menawarkan bantuan mereka.

White House berkata, Presiden AS, Joe Biden diberi taklimat mengenai laporan mengenai nahas itu. 

China pula berkata, mereka amat bimbang manakala Kesatuan Eropah menawarkan teknologi pemetaan satelit kecemasan.

Kemalangan itu berlaku pada waktu perbezaan pendapat yang semakin meningkat di Iran berhubung pelbagai krisis politik, sosial dan ekonomi. 

Pemerintah ulama Iran menghadapi tekanan antarabangsa berhubung program nuklear Tehran yang dipertikaikan dan hubungan ketenteraan yang semakin mendalam dengan Rusia semasa perang di Ukraine.

Sejak sekutu Iran, Hamas menyerang Israel pada 7 Oktober lalu, ia mencetuskan serangan Israel ke atas Gaza, kebakaran yang melibatkan kumpulan bersekutu Iran telah meletus di seluruh Asia Barat.

Dalam sistem dwi politik Iran yang berpecah antara pertubuhan perkeranian dan kerajaan, mentor Raisi berusia 85 tahun, Khamenei, pemimpin tertinggi sejak 1989 yang memegang kuasa membuat keputusan pada semua dasar utama.

Selama bertahun-tahun ramai yang melihat Raisi sebagai pesaing kuat untuk menggantikan Khamenei yang menyokong dasar utama Raisi.

Raisi berada di sempadan Azerbaijan semalam untuk merasmikan Empangan Qiz-Qalasi, sebuah projek bersama. Presiden Azerbaijan Ilham Aliyev, yang berkata beliau telah mengucapkan “perpisahan mesra” kepada Raisi pada awal hari, menawarkan bantuan dalam menyelamat. -REUTERS

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini