Kes Bunuh Irene Sofiya: Polis tunggu keputusan TPR

Kes Bunuh Irene Sofiya: Polis tunggu keputusan TPR

KETUA Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kertas siasatan berhubung kes pembunuhan tragis pelajar perempuan, Allahyarhamah Irene Sofiya Mohd. Khairool Faisal, 16, telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) negeri, Jumaat lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, pihak polis kini masih menunggu sebarang arahan atau keputusan terkini daripada pihak TPR berhubung tindakan lanjut yang akan diambil.

Menurutnya, proses teliti sedang dilaksanakan oleh pihak pendakwaan memandangkan suspek utama yang ditahan dalam kes berkenaan merupakan seorang pesalah juvana (di bawah umur).

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita telah pun merujuk kertas siasatan berkaitan dengan kes tersebut ke pejabat TPR, kita belum menerima apa-apa arahan terkini daripada pihak mereka, masih dalam peringkat kajian terhadap kes tersebut.

“Memandangkan suspek dalam kes ini merupakan pesalah juvana, perkara ini perlu diberi pertimbangan yang lebih teliti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Terdahulu, negara dikejutkan dengan berita kematian tragis Irene Sofiya, 16, yang ditemukan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah di sebuah dewan sekolah di Yong Peng kira-kira 5.50 petang sebelum disahkan meninggal dunia.

Mangsa ditemukan dengan kesan kecederaan parah akibat trauma tumpul di kepala selepas hadir ke sekolah bagi mengikuti kelas tambahan.

Hasil siasatan lanjut pihak polis percaya motif pembunuhan adalah akibat perasaan dendam suspek terhadap mangsa termasuk berkaitan penolakan cinta suspek dan menjalin hubungan dengan kawan baik sendiri.

Polis turut merampas sebatang besi sepanjang 96 sentimeter serta sehelai baju sukan yang mempunyai kesan darah bagi membantu siasatan menyeluruh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Mengulas lanjut mengenai status tahanan, Ab Rahaman memaklumkan bahawa tempoh reman ke atas suspek remaja lelaki itu masih berjalan dan dijangka berakhir pada Jumaat ini.

Pihak polis amat berharap agar arahan atau keputusan rasmi daripada Pejabat TPR dapat diperoleh sebelum tempoh tahanan reman tersebut tamat.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini