Skandal Burning Sun kembali panas, dedah video baran Seungri - Utusan Malaysia

Skandal Burning Sun kembali panas, dedah video baran Seungri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEOUL: Skandal seks terbesar dunia hiburan Korea Selatan, Burning Sun, kembali mencuri perhatian apabila sebuah dokumentari khas menceritakan secara terperinci mengenai jenayah itu dimuat naik di YouTube, semalam.

Dokumentari berdurasi satu jam yang diterbitkan oleh BBC Eye itu menceritakan perjuangan dua wartawan yang mula membongkar kes membabitkan nama besar dunia K-pop seperti Seungri.

Seungri yang juga bekas ahli kumpulan BIGBANG didapati bersalah dalam jenayah pemerdagangan seks, perjudian haram dan beberapa pertuduhan lain yang berlaku di kelab malam miliknya, Burning Sun.

Dokumentari itu mendedahkan bagaimana pekerja kelab Seungri meletakkan dadah ke dalam minuman gadis sebelum dirogol oleh pengunjung kelas atasan kelabnya.

Bukan itu sahaja, BBC turut mendedahkan perbualan mesej berkumpulan antara Seungri dan beberapa figura dunia K-pop yang lain seperti penyanyi, Jung Joon-young dan bekas kumpulan FT Island, Choi Jong-hoon. Mereka saling berkongsi video gadis yang dirogol atau dirakam tanpa izin.

Jung dan Choi bagaimanapun didapati bersalah kerana melakukan jenayah rogol berkumpulan dan dikenakan hukuman penjara enam tahun.

Namun, rata-rata penonton terkejut dengan video eksklusif menunjukkan bagaimana Seungri menarik tangan seorang gadis secara kasar untuk melayaninya.

Bukan itu sahaja, masyarakat turut mempertikaikan bagaimana penyanyi itu hanya mendapat hukuman penjara selama 18 bulan sedangkan jenayah yang dilakukannya jauh lebih besar.

“Lega apabila isu ini dibincangkan semula. Harap perkara ini dibincangkan semula memandangkan terlalu banyak informasi yang disembunyikan,” tulis satu komen.

“Tak boleh nak ungkapkan betapa jijiknya perangai lelaki yang terlibat dalam skandal seks itu. Mesej yang ada dalam kumpulan sembang itu melampau,” kata komen yang lain.

“Akhirnya kita semua dah tahu betapa teruknya industri hiburan Korea Selatan. Kalau orang masih suka Seungri, tak tahulah nak cakap apa,” tulis seorang pengguna.

Terdahulu, pada tahun 2019, industri hiburan Korea Selatan digemparkan dengan skandal seks membabitkan selebriti nama besar negara itu. Lebih mengejutkan, pihak polis turut berkomplot untuk melindungi jenayah tersebut.

Seungri selesai menjalani hukuman dan dibebaskan pada Februari tahun lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN