ALOR SETAR: Parti Amanah Negara (Amanah) Kedah menyifatkan kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor bersifat retorik dan gemar ‘menjual mimpi’ melalui pengumuman projek mega kepada rakyat.
Pengerusinya, Asmirul Anuar Aris berkata, kerajaan Kedah ketika ini diibaratkan seperti sedang berjanji untuk membina sebuah istana di atas awan namun janji itu tidak akan dapat dilaksanakan melainkan kenyataan bersifat retorik yang merugikan masa rakyat dan negeri semata-mata.
“Amanah Kedah terkejut dengan pengumuman terbaharu kerajaan negeri yang mahu bangunkan sistem pengangkutan transit aliran ringan (LRT) menggunakan teknologi maglev di Pulau Langkawi.
“Kami harap rakyat Kedah tidak percaya cadangan itu kerana ia semata-mata episod baru menjual mimpi kosong bagi mengalih isu tentang pelbagai kelemahan yang berlaku dalam kerajaan negeri ketika ini,” katanya.
Kata Asmirul Anuar, sejak Muhammad Sanusi menjadi menteri besar, banyak projek mega yang diumumkan, namun penyokongnya dilihat tidak berfikir panjang apabila percaya sepenuhnya tanpa melihat fakta dan realiti sebenar.
“Persoalan yang ingin rakyat tahu ketika ini adalah apa jadi projek Widad Langkasuka di Langkawi berjumlah RM40 bilion yang diumumkan pada 30 Mac 2021 dalam majlis di Kuala Lumpur.
“Ke mana perginya pelabur yang digembar-gemburkan oleh Sanusi iaitu sebuah syarikat dari Timur Tengah, Bin Zayed dan Widad Business Group. Kini Bin Zayed sudah hilang dan pemegang saham utama Widad pun sudah lupuskan sahamnya dalam syarikat itu,” katanya.
Sementara itu, Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin menggambarkan Muhammad Sanusi sebagai individu yang terlalu gemar bermimpi ‘sehingga ke bintang’ tetapi tindakannya tidak selari dengan angan-angannya.
“Kalau serius hendak tangani isu pelancong di Langkawi, Sanusi perlu rawat punca dan masalah sebenar. Sejak bila pelancong turun sebab tiada LRT, pelancong kurang sebab kos pelancongan di sana mahal, jadual feri berkurang dan tambang makin naik. Selesai isu-isu ini dahulu.
“Setidaknya, selesai isu air dahulu di Langkawi. Ini lah masalah apabila dapat menteri besar yang jenis populis, suka umum projek sebab hendak nampak bagus tapi keperluan rakyat tidak terjaga,” katanya.
Tambah Shaiful Hazizy, beliau yakin projek LRT tersebut akan menerima nasib sama dengan projek-projek mega yang Muhammad Sanusi pernah umumkan sebelum ini.
“Mana projek Widad Langkasuka RM40 bilion, mana pelaburan RM2.5 bilion Lapangan Terbang Kulim, mana litar lumba Sungai Petani. Semua terbelengkalai, nanti alih-alih salah Kerajaan Persekutuan,” katanya. -UTUSAN










