KANGAR: Pengalaman menjadi guru hampir 30 tahun, banyak membantu dan memudahkan Mohd. Shukri Ramli dalam menjalankan tanggungjawab sebagai Menteri Besar terutama semasa menyantuni rakyat.
Malah, Hari Guru juga cukup istimewa bagi Mohd. Shukri yang mempunyai 1,001 pengalaman bergelar pendidik. Menariknya, meskipun sudah lebih 10 tahun bersara sebagai guru, namun masih ramai memanggilnya cikgu.
Secara berseloroh Mohd. Shukri berkata, dahulu beliau sering menganggap kerja sebagai guru sukar dan menjadi Menteri Besar lebih mudah, namun hakikat adalah sebaliknya.
“Bagi saya tugas sebagai guru cukup istimewa di mana kita mendidik dan melihat hasil didikan apabila anak murid kita berjaya.
“Apabila kita jumpa kembali bekas anak murid kita, ia juga memberi motivasi untuk kita lebih kuat menjalani kehidupan. Apabila kita melihat murid kita berjaya, ia satu kepuasan.
“Saya cukup bangga pernah bergelar guru dan pengalaman sebagai guru banyak membantu saya apabila menjadi Menteri Besar ketika ini. Guru kita menyantuni masyarakat dan sebagai Menteri Besar juga ke arah itu. Kita tidak pernah bezakan anak murid sama juga sekarang tidak membezakan seluruh rakyat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Mohd. Shukri memulakan tugas sebagai guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Beraya, Miri, Sarawak (1985-1987), SK Pulo Kuching (1988-1989), SK Padang Keria (1990-1997), SK Dato Wan Ahmad (1997-2000), SK Felda Mata Ayer (2000), SK Sanglang (2001-2011) dan SK Sungai Baru (2011-2013).
Jawatan terakhir Mohd Shukri ialah Penolong Kanan Kokurikulum di SK Sungai Baru sebelum bersara awal pada usia 52 tahun pada 2013 untuk menjadi calon Pas dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).
Tidak sempat menjadi Guru Besar, takdir menentukan Mohd. Shukri terus menjadi Menteri Besar selepas Perikatan Nasional (PN) menang dalam PRU-15, November tahun lalu.
Beliau yang merupakan bekas guru Matematik dan Kemahiran Hidup bergelar pendidik sejak 1985 sehingga 2013 iaitu hampir 30 tahun.
Dalam pada itu, sambutan Hari Guru cukup istimewa dan signifikan bagi kebanyakkan wakil rakyat PN di Perlis apabila sembilan daripada 15 Ahli Dewan Undangan (ADUN) termasuk Parlimen di negeri ini merupakan bekas guru.
Selain Menteri Besar, tiga exco kerajaan negeri juga adalah bekas guru. – UTUSAN










