Rugi RM100,000, bengkel jahitan rosak akibat ribut

Rugi RM100,000, bengkel jahitan rosak akibat ribut

KEADAAN gerai yang rosak akibat ribut di pekan Chenderong Balai dekat Pasir Salak, Perak, semalam. - UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR SALAK: Seorang pengusaha menjahit pakaian mengalami kerugian kira-kira RM100,000 selepas mesin jahit dan bengkelnya rosak dalam kejadian ribut dan hujan lebat di pekan Chenderong Balai, dekat sini kelmarin.

Kejadian ribut kira-kira pukul 5 petang itu turut menyebabkan beberapa buah rumah dan gerai penduduk mengalami kerosakan.

Ramnah Mohd. Dauh, 62, yang menjalankan perniagaan menjahit pakaian menerusi pinjaman Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) berkata, 10 unit mesin jahitnya di bengkelnya rosak terkena air hujan apabila bengkelnya rosak dilanda ribut.

Katanya, ketika kejadian dia berada di dalam bengkel menyiapkan pakaian ditempah pelanggan.

“Ketika itu saya berada dalam bengkel jahitan dan mendengar bunyi angin kuat yang datang bersama hujan lebat.

“Saya kaku, rasa sangat takut hingga menggigil. Saya cuba selamatkan pakaian dan mesin jahit supaya tidak basah terkena air hujan, tapi tidak berdaya kerana hanya seorang diri.

“Bumbung bengkel diterbangkan angin, seperti bunyi letupan ketika bumbung diterbangkan. Air hujan masuk dalam bengkel dan membasahi 10 unit mesin jahit dan pakaian yang ditempah pelanggan,” katanya semalam.

Menurut Ramnah, ia kejadian pertama kali ribut kuat melanda di pekan Chenderong Balai.

“Banyak wang diperlukan untuk memperbaiki kerosakan sebelum dapat menyambung semula kerja menjahit, juga modal yang besar untuk memperbaiki bangunan bengkel yang rosak teruk,” katanya.

Sementara itu, tinjauan mendapati antara yang turut rosak dilanda ribut ialah kedai makan, kedai memproses ayam, bengkel kereta selaian kabel elektrik putus dan pokok tumbang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN