Kastam gagalkan cubaan seludup dadah lebih RM1.7 juta di laut

Kastam gagalkan cubaan seludup dadah lebih RM1.7 juta di laut

WAN Marini Wan Hamzah (tengah) menunjukkan bungkusan dipercayai dadah jenis methamphetamine yang dirampas pihaknya semasa sidang akhbat di Pejabat Kastam Cawangan Sungai Petani, Kedah hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kedah merampas dadah disyaki jenis methamphetamine seberat 35.95 kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai kira-kira RM1.79 juta berhampiran Pulau Telur, perairan Yan, bulan lalu.

Pengarah Kastam Kedah, Wan Marini Wan Hamzah berkata, rampasan itu dilakukan Bahagian Penguatkuasaan JKDM negeri hasil operasi yang dijalankan di perairan itu kira-kira pukul 7 malam, 14 Jun lalu.

Katanya, sepasukan anggota Cawangan Penguatkuasaan Marin Tanjung Dawai mengesan sebuah bot fiber tanpa nombor dalam keadaan mencurigakan berhampiran Pulau Telur dan dipercayai sedang menuju ke perairan antarabangsa.

“Kami menghampiri bot itu serta mengarahkan tekongnya berhenti untuk pemeriksaan namun dua lelaki dipercayai rakyat tempatan yang berada di atas bot bertindak mencampakkan dua bagasi dan sebuah beg galas ke laut sebelum memecut laju ke perairan antarabangsa.

“Pasukan cuba mengejar, namun mereka berjaya meloloskan diri ke perairan antarabangsa dan hasil semakan terhadap bagasi dan beg terbabit menemukan sejumlah dadah jenis methamphetamine,” katanya pada sidang akhbar, di sini hari ini.

Wan Marini berkata, pemeriksaan lanjut di pejabat Bahagian Penguatkuasaan di Tanjung Dawai kemudiannya mendapati keseluruhan rampasan membabitkan 35 bungkusan plastik mampat mengandungi dadah jenis methamphetamine.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan bot serta individu terlibat, termasuk mengenal pasti kemungkinan pembabitan sindiket jenayah rentas sempadan.

“Berdasarkan modus operandi dan penggunaan bot fiber laju itu kita percaya dadah itu dipercayai hendak diseludup keluar negara melalui jalan laut,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan tidak kurang 12 kali. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN