SHAH ALAM: Seorang eksekutif sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) alami patah tulang bahu, tangan dan jari kiri akibat ditetak dekat Kilometer (KM) 14.6, laluan motosikal Lebuhraya Persekutuan di Seksyen 13, di sini, bulan lalu.
Kecederaan itu didedahkan menerusi laporan perubatan yang dikemukakan oleh pihak pendakwa raya kepada Mahkamah Sesyen dalam prosiding jatuh hukum terhadap seorang penunggang motosikal, Azmi Jantan, 43, hari ini.
Kejadian berlaku selepas tertuduh dikatakan tidak berpuas hati mangsa membunyikan hon kerana laluannya dihalang oleh tertuduh.
Turut dimaklumkan adalah kecederaan lain yang dialami Mohd. Fairuz Jaafar, 45, seperti luka di bahagian kepala dan muka ketika dirawat di Hospital Shah Alam.
Dalam prosiding tersebut, tertuduh yang merupakan seorang jurujual jenama penapis air dan udara terkenal dihukum penjara selama 10 tahun dan dua sebatan oleh Hakim ‘Ainul Bashiirah Dona Don Biyajid selepas mengekalkan pengakuan bersalahnya.
Berdasarkan fakta kes, dalam kejadian kira-kira pukul 8.19 pagi itu, Mohd. Fairuz dikatakan dalam perjalanan ke pejabatnya di Kuala Lumpur, namun ditetak oleh tertuduh semasa melalui lorong motosikal lebuh raya berkenaan.
“Mangsa mengatakan dia ditetak semasa dia memberhentikan motosikal di tepi jalan ketika menuju ke arah kamu (tertuduh) dan terus ditetak oleh kamu dengan menggunakan pisau pemotong daging.
“Sementara seorang pegawai perubatan yang membuat pemeriksaan terhadap mangsa menyatakan terdapat kecederaan di bahagian kepala, bahu dan tangan kirinya yang disebabkan oleh objek tajam.
“Seorang doktor bedah pula yang membuat pemeriksaan lanjut memaklumkan Mohd. Fairuz mengalami kecederaan sehingga menyebabkan beliau patah tulang bahu, tangan dan jari di pergelangan kiri disebabkan oleh objek pisau tertuduh,” katanya.
Dalam fakta kes sama, polis yang memeriksa tertuduh turut menemukan pisau yang digunakan disimpan dalam sebuah beg berwarna hitam dan diletakkan di dalam bakul motosikalnya.
Sementara itu, tertuduh ketika disoal oleh hakim memberitahu pisau tersebut dibawa dari rumah bertujuan untuk dibuang.
Kemudian, Azmi yang tidak diwakili peguam dalam mitigasinya hanya memohon hukuman ringan dikenakan ke atasnya, namun cuba membuat rayuan sekali lagi selepas mendengar hukuman yang dijatuhkan ke atasnya.
Bagaimanapun, Hakim ‘Ainul Bashiirah Dona tidak membenarkan cubaan tersebut selepas memaklumkan peluang rayuan sudah pun diberikan sebelum beliau menjatuhkan hukuman.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Amir Saifullah Mohammad Salehuddin memohon mahkamah menjatuhkan hukuman dengan mengambil kira faktor kepentingan awam apabila kes tersebut dikatakan berpunca daripada perkara remeh iaitu membunyikan hon.
“Dalam kes ini mangsa mengalami kecederaan yang kritikal di bahagian organ yang vital seperti kepala dan lengan, itu boleh dilihat gambar kecederaan mangsa yang dikemukakan.
“Senjata digunakan oleh tertuduh adalah pisau pemotong daging iaitu senjata tajam yang boleh membawa maut. Tertuduh pula bernasib baik kerana tidak meninggal dunia,” jelasnya.
Tambah pihak pendakwaan itu, hukuman yang berat juga perlu mengambil kira sebagai pengajaran kepada masyarakat bagi membendung kes buli jalanan dan amuk melampau.
Pada 18 Jun lalu, Utusan Malaysia melaporkan Azmi mengaku bersalah atas pertuduhan menetak seorang penunggang lain ketika sedang menunggang motosikal di laluan motosikal lebuh raya berkenaan.
Dalam prosiding pertudhan itu, dia dituduh di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebatan. – UTUSAN










