Tindakan tegas kepada syarikat produksi yang menindas pekerja - Azmir Saifuddin - Utusan Malaysia

Tindakan tegas kepada syarikat produksi yang menindas pekerja – Azmir Saifuddin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana syarikat produksi yang melakukan penindasan terhadap pekerja filem.

Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Datuk Azmir Saifuddin memaklumkan selain menyekat filem daripada ditayangkan, pihaknya berkuasa menyekat permit penggambaran jika penindasan diadukan kepada pihak mereka.

“Pekerja yang ditindas perlu membuat aduan kepada FINAS. Setiap aduan disusuli tindakan.

“Seperti tahun lepas kami pernah sekat filem kerana produksi gagal melunaskan bayaran kepada kru.

“Kami juga boleh membuat sekatan permit (penggambaran) sejajar dengan akta FINAS yang digubal.

“Kami akan panggil semua pihak dan melakukan perbincangan, kami tak mahu ianya disimpan dalam hati dan kalau boleh mengelakkan golongan muda berpandangan pekerja filem dan drama tiada perlindungan,” katanya.

Azmir berkata demikian Ketika ditemui media sempena Majlis penghargaan artis veteran di INTI International College, Subang jaya.

Mengulas mengenai luahan kru penggambaran mengenai kerja lebih masa di Thread, Azmir berkata pihaknya ambil maklum dan mengarahkan pihak berwajib untuk menjalankan siasatan terhadap kes tersebut.

“Isu bekerja lebih masa ini membawa banyak keburukan, mengundang banyak perkaitan negatif. Setakat minggu ini, kami terima dua aduan menerusi emel dan satu di platform Thread. Aduan ini berkaitan bekerja lebih masa dan penjadualan.

“Bagi Finas, waktu kerja adalah amat penting, bahkan kami telah usulkan tempoh minima bagi waktu tersebut.
Dalam produksi filem dan drama, 12 jam adalah yang terbaik.

“Saya maklum akan perkongsian di Thread itu, jadi saya minta finas bahagian perlesenan untuk melakukan siasatan. Kalau boleh kita tidak mahu perkara ini berlarutan dan dipandang sebelah mata kerana ini adalah isu penting,” kongsinya.

Dalam masa yang sama Azmir menggalakkan untuk mana-mana pekerja filem dan drama yang ditindas membuat aduan agar tindakan susulan dapat dilakukan.

“Kami menggalakkan artis atau kru penggambaran melakukan aduan menerusi [email protected] atau hubungi kami secara terus. Kami ada pasukan terlatih untuk menyiasat,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN