Ribuan ikan darat ditemukan mati

Ribuan ikan darat ditemukan mati

SEBAHAGIAN ikan darat yang ditemukan mati di Sungai Ibok, Kemaman, kelmarin. - UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Penduduk di sekitar Kampung Ibok, dekat sini, gempar dengan penemuan ribuan ikan darat yang ditemukan mati dan terapung di Sungai Ibok, di sini, sejak petang kelmarin.

Tinjauan di sekitar sungai itu mendapati pelbagai jenis ikan termasuk lampam dan temperas, terbol, udang galah dan tapah mati terapung dan keadaan sungai yang sering menjadi tumpuan pemancing itu juga berbau busuk.

Seorang daripada penduduk, Ahmad Sanadi Kassim, 54, berkata, kejadian itu pertama kali berlaku di sungai tersebut dan kematian ikan serta hidupan sungai itu masih menjadi tanda tanya.

“Penemuan bangkai ikan ni memang mengejutkan rata-rata penduduk sebab jumlahnya terlalu banyak. Tak pernah berlaku seperti ini sebelum ini.

“Kita minta pihak bertanggungjawab untuk menyiasat punca ikan ini mati, adakah sebab pencemaran ataupun disebabkan cuaca atau sebaliknya,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Seorang lagi penduduk, Amir Mazlan, 43, berkata, kematian ikan tersebut sedikit sebanyak akan menjejaskan pendapatan penduduk terutamanya nelayan sungai yang bergantung kepada hidupan sungai.

“Kalau ikutkan memang membazir sebab ikan sungai ini bermutu tinggi dan pelbagai spesies dan saiznya juga ada yang besar.

“Bukan hanya nelayan sungai, tapi pemancing juga rugi sebab tak dapat memancing di sini,” katanya.

Sementara itu Pengarah Jaba­tan Perikanan negeri, Ruzaidi Mamat berkata, pihaknya telah menerima laporan berkenaan kejadian kira-kira pukul 7 petang kelmarin.

“Pihak kami telah turun melakukan siasatan bersama pihak Jabatan Alam Sekitar di lokasi kejadian. Pihak JAS telah mengambil sampel air sungai dan ikan bagi tindakan lanjut untuk mengenal pasti punca kejadian,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×