Resah tanah persendirian jadi tapak pelupusan sampah haram

Penduduk resah tanah persendirian jadi tapak pelupusan sampah haram

MOHAMMAD Abd. Latif (kiri) dan Zulkefli Mohd. Sharif melihat timbunan sampah termasuk sisa binaan yang dibuang di satu kawasan pembuangan sampah haram di Kampung Jimah Lama, Port Dickson, Negeri Sembilan. - UTUSAN/BADRUL HAFIZAN MAT ISA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Penduduk di Kampung Jimah Lama di sini meminta pihak berwajib mengambil tindakan sewajarnya berhubung sebidang tanah persendirian di kampung itu yang dijadikan tapak pelupusan sampah haram.

Menurut mereka, tempat pembuangan sampah termasuk sisa binaan itu berada berdekatan dengan beberapa buah rumah penduduk sekali gus berisiko menjejaskan kesihatan mereka.

Tapak pembuangan sisa seluas 0.4 hektar itu berada sangat hampir dengan sungai malahan kawasan kampung itu juga menurut penduduk merupakan kawasan kerap berlaku banjir.

Seorang penduduk, Mohammad Abd. Latif, 66, berkata, kawasan tanah itu mula dilihat aktif dijadikan tempat pembuangan sampah haram sejak Oktober tahun lalu.

“Bukan hanya sisa-sisa binaan malah banyak sisa sampah lain turut dibuang. Sering dilihat beberapa buah lori masuk dan membuang sampah di sini, waktunya tidak tentu, kadangkala pagi, ada juga pada sebelah malam.

“Mereka bukan hanya membuang sampah malah ada waktunya membakar sampah sehingga mendatangkan bau tidak menyenangkan kepada penduduk sekitar. Kadangkala pembuangan sampah oleh lori-lori itu mendatangkan gangguan bunyi, memang menjejaskan keselesaan penduduk berhampiran.

“Kawasan ini sering berlaku banjir dan dinaiki air ekoran limpahan air sungai berhampiran, cuba bayangkan banjir itu nanti turut membawa sampah-sampah tersebut masuk ke dalam dan kawasan rumah penduduk, banyak perkara buruk boleh terjadi,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.

Mohammad berkata, dia sudah membuat aduan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengenai masalah itu namun pembuangan sampah haram tersebut masih berlaku.

Dalam pada itu, seorang lagi penduduk, Zulkefli Mohd. Sharif, 59, meminta pihak berwajib mengambil tindakan tegas terhadap pemilik tanah serta pihak yang membuang sampah dan sisa di situ kerana masalah berkenaan benar-benar mendatangkan resah penduduk. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN