HULU SELANGOR: Bekas Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Dr. P. Ramasamy didakwa berdendam dengan Pakatan Harapan (PH) dan DAP selepas tidak dicalonkan semula pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, Ramasamy memainkan politik dendam ke atas partinya apabila berkempen untuk memboikot calon PH, Pang Sock Tao pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu.
Oleh kerana itu, kata beliau, Presiden Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai) itu tiada alternatif lain dan tidak mempunyai hala tujunya sendiri.
“Kalau ikut hujah (Ramasamy), dia ini tidak tentu arah. Dia kata jangan undi PH, tetapi nak undi siapa? (Awak) tanya dia. Dia tidak jawab hendak undi siapa (dalam PRK Kuala Kubu Baharu).
“Dia tidak ada alternatif. Maksudnya (Ramasamy) ini (hanya) berpolitik atas dendam sahaja. Dendam kepada DAP dan PH sebab tidak dicalonkan semula,” katanya ketika ditemui di pekan Kuala Kubu Baharu, di sini semalam.
Untuk rekod, Sock Tao berdepan saingan empat penjuru dalam PRK Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei ini iaitu dicabar Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Nyau Ke Xin (Bebas) dan Hafizah Zainudin (Parti Rakyat Malaysia).
Terdahulu, media melaporkan, Urimai yang merupakan parti baharu ditubuhkan beberapa bekas pemimpin dan ahli DAP memulakan kempennya bagi menggesa pengundi di Kuala Kubu Baharu menolak Sock Tao.
Mengulas lanjut, Anthony Loke berkata, kempen Urimai itu tidak menjejaskan kempen dan pihaknya akan terus memberi fokus terhadap penerangan kepada semua masyarakat.
“Sekarang ini kita hendak pilih Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN). Jadi, apabila dipilih, dia adalah wakil rakyat kerajaan negeri. Jadi itu yang kita hendak bincangkan dalam kempen PRK ini.
“Bukannya soal hendak boikot ini, boikot itu tetapi tiada alternatif. Dia tidak berani hendak cakap untuk pilih siapa. Kalau ikut dia, kita pun tiada hala tuju dan akhirnya sesat,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kempen PH dalam PRK itu masih berada di fasa ‘awal’ dan ‘belum panas’.
Beliau berkata, lazimnya ketika permulaan kempen PRK sememangnya PH tidak mengadakan ceramah yang ‘panas’.
Menurut beliau, PH menggunakan strategi dengan mengadakan kempen ceramah kelompok berbanding mengadakan ceramah besar-besaran sebaik sahaja fasa pertama berkempen diselesaikan.
“Hujung minggu ini kita akan mulakan ceramah-ceramah besar bermula pada malam Jumaat ini, saya akan turun ke Batang Kali (dan) kita akan adakan ceramah, pentas besar bersama dengan kepimpinan Pusat,” katanya. – UTUSAN










