IPOH: Seramai 24 warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perak dalam serbuan Op Gegar ke atas sebuah pusat pelacuran dan premis hiburan di bandar raya ini, semalam.
Serbuan bermula pukul 8 malam hingga 4 pagi tadi dijalankan oleh Unit Risikan dan Operasi, Bahagian Penguatkuasa JIM Perak.
Pengarahnya, Meor Hezbullah Meor Abdul Malik berkata, serbuan dibuat hasil pemantauan dan risikan yang dijalankan Unit Risikan JIM Perak di kedua-dua lokasi tersebut.
Katanya, dengan kekuatan anggota seramai 25 orang, pemeriksaan telah dibuat ke atas 40 warga asing dan 21 rakyat tempatan.
“Daripada jumlah itu, seramai 24 warga asing ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Kesemua mereka yang ditahan terdiri daripada 18 orang wanita dan seorang lelaki warga Thailand dan lima wanita warga Vietnam. Mereka yang ditahan berusia antara 20 sehingga 50 tahun,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, kesemua warga asing itu ditahan bagi tujuan siasatan kerana dipercayai dengan munasabah telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) akta yang sama iaitu tinggal di Malaysia selepas tamat tempoh pas yang dikeluarkan dan kesalahan di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas yang dikeluarkan.
Katanya, warga asing itu kini ditahan di Depot Imigresen Ipoh untuk siasatan dan tindakan lanjut.
“Masyarakat diharap dapat membuat laporan atau aduan kepada agensi penguatkuasa bagi membantu kita membanteras kebanjiran pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam negara.
“Selain daripada PATI, kita juga akan mengambil tindakan tegas terhadap majikan atau individu yang menggaji atau melindungi mereka termasuk pendakwaan di mahkamah,” katanya. – UTUSAN









